Muktamar Tahunan PAS kali ke-62 yang berlangsung selama dua hari di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (Putik) memperlihatkan barisan kepimpinan yang ada diterima baik oleh semua ahli PAS.

Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkenaan muktamar yang banyak menekankan mengenai pendekatan budaya politik matang dan sejahtera seperti yang dinyatakan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Saya rasa muktamar kali ini, kepimpinan diterima baik perwakilan. Ini bermakna keputusan muktamar tahun lepas bukannya disebabkan oleh kita, tetapi oleh perwakilan, dan perwakilan menerima apa yang kita buat,” ujar beliau.

Menyentuh pendirian PAS mengenai tahaluf siyasi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Takiyuddin memaklumkan usul yang dibangkitkan itu akan dirujuk ke Majlis Syura untuk dikaji.

“Usul daripada beberapa pihak adalah PAS pusat merujuk hubungan tahaluf siyasi ini kepada Majlis Syura untuk buat kajian. Bukan untuk putus, tapi untuk tambah baik.

“Apa juga bentuk hubungan yang perlu dibaiki dan kita ambil positif. Bukan macam DAP dulu,” ujar Takiyuddin.

Katanya, usul yang dibangkitkan Dewan Pemuda dan Muslimat berhubung mengkaji tahaluf siyasi dengan PKR akan dirujuk ke Majlis Syura sebelum sebarang keputusan dibuat.

Takiyuddin juga memperbetulkan kenyataan yang menyatakan tentang jumlah ahli PAS yang meninggalkan parti itu selepas proses pemutihan.

Menurut beliau, jumlah ahli PAS yang meninggalkan parti, termasuk yang telah meninggal dunia, tidak sampai ke angka 200,000 orang tetapi hanya kurang 1 peratus daripada keseluruhan sejuta ahlinya.

Takiyuddin berkata sedemikian bagi merujuk kepada laporan sebuah portal sebelum ini.