KUALA LUMPUR: Barnaby Joyce dipilih sebagai Ketua Parti Nasional Australia sekali gus menjadikan beliau Timbalan Perdana Menteri baharu negara itu menggantikan Michael McCormack.

Pemilihan itu dibuat setelah ahli Parti Nasional negara tersebut sebulat suara memilih Joyce dalam pengundian yang diadakan baru-baru ini.

Ia susulan kebimbangan dalam kalangan ahli parti terhadap pengaruhnya dalam polisi iklim.

Memetik laporan BBC News, pemilihan Joyce itu menandakan kembalinya beliau dalam politik setelah kira-kira tiga tahun tidak terlibat dalam arena itu.

Ini selepas beliau sebelum ini terpaksa meletak jawatan kerana terpalit dengan skandal bersama bekas setiausahanya yang menjatuhkan reputasi kerajaan.

"Saya sedar akan kesalahan saya dan meletakkan jawatan seperti sepatutnya. Saya sudah berdiam diri selama tiga tahun dan berharap akan kembali sebagai insan yang lebih baik.

"Saya tidak lari dari fakta yang saya memerlukan masa untuk menerima kesannya (skandal) terhadap diri sendiri, tetapi paling penting, kesannya kepada orang lain," katanya.

Joyce dijadualkan mengangkat sumpah secara rasminya sebagai Timbalan Perdana Menteri baharu Australia pada Selasa.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dijangka akan meneruskan pilihan raya yang akan diadakan antara Ogos atau Mei hadapan.