Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menggeledah sekurang-kurangnya tujuh lokasi bagi menyiasat salah laku berkaitan pelombongan haram bauksit di Kuantan, Pahang.

Antara kawasan yang digeledah ialah Pejabat Pelabuhan Kuantan, Pejabat Kastam dan beberapa syarikat yang menyaksikan pelbagai dokumen termasuk dokumen eksport, komputer riba dan borang berkaitan kastam dirampas.

Perkara ini disahkan Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahya yang ketika dihubungi turut berkata tindakan seterusnya sedang dilakukan SPRM

Tindakan geledah itu diambil SPRM susulan penahanan 10 individu, termasuk seorang pegawai kastam berpangkat penolong pengarah, semalam.

Lokasi lain yang turut digeledah adalah kesemua rumah 10 orang suspek tersebut di mana pihak SPRM turut merampas beberapa dokumen seperti penyata akaun bank bagi tujuan siasatan.

Dalam perkembangan sama, SPRM juga sudah menghantar permohonan bagi menyekat sebarang pengambilalihan harta mengikut Seksyen 37(1) Akta SPRM 2009.

Sehingga hari ini, seramai 18 orang saksi yang terdiri daripada pemandu-pemandu lori yang mengangkut bauksit haram, pengurus, penyelia syarikat serta kerani syarikat sudah diambil keterangan.

Terdahulu hari ini, SPRM memperoleh perintah tahanan reman selama seminggu bermula hari ini terhadap sembilan kakitangan PTG yang berusia antara 29 hingga 59 tahun bagi membantu siasatan berhubung perlombongan bauksit haram.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman yang sebelum ini turut membenarkan pegawai kastam berusia 56 tahun dan berpangkat penolong pengarah itu direman sehingga 8 Ogos bagi membantu siasatan.

Semua suspek ditahan dalam operasi khas oleh SPRM selepas mendapati aktiviti perlombongan bauksit di Bukit Goh dan Bukit Sagu masih berjalan walaupun kerajaan telah mengenakan perintah moratorium sehingga 31 Dis ini.