Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun menganggap tidak ada perkara pelik dan luar biasa dengan membawa usul-usul yang dikemukakan pada semua mesyuarat perwakilan Pemuda bahagian kepada presiden parti selepas mesyuarat Majlis Tertinggi yang dijadual pada 9 September ini.

Jelasnya, itu merupakan amalan biasa yang dilakukan sejak tahun-tahun lepas dan sudah diterima semua sebelum ini.

"Tenang, tidak ada yang luar biasa. Itu perkara biasa yang dibuat dan tidak perlu dijadikan polemik.

"Membawa usul ke pucuk pimpinan tidak bermakna Pemuda menentang barisan kepimpinan tertinggi UMNO," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Khairul Azwan mengulas dakwaan beberapa portal yang mempertikaikan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang dilapor akan mengadakan perjumpaan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyampaikan usul-usul yang dicapai dalam kesemua Mesyuarat Perwakilan Pemuda Bahagian.

Bagaimanapun jelas Khairy, pihaknya sebelum itu akan meminta pengurusan Pemuda untuk meneliti setiap usul yang diterima bagi memahami keadaan akar umbi dengan lebih mendalam.

Dalam pada itu ujar Khairul Azwan, langkah dibuat Pemuda adalah tindakan membela institusi kepartian selain membawa suara isi hati akar umbi untuk tindakan selanjutnya.

"Kita buat begitu bukan kerana tidak setuju. Pemuda akan menjadi jambatan akar umbi kepada pucuk pimpinan jika ada usul yang harus diambil perhatian.

"Jangan ada pihak yang mengadu domba dan polemik terhadap isu ini," katanya.

Selain isu usul, mesyuarat Pemuda UMNO pada Isnin turut mencapai beberapa ketetapan antaranya adalah mahu isu besar seperti 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana politik diselesaikan segera.