Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaan untuk disiasat dan dibawa ke mahkamah seandainya benar laporan polis yang dibuat bahawa beliau menyebarkan berita tidak benar dalam isu sabotaj pesawatnya ke Langkawi baru-baru ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga menafikan ada membuat sebarang kenyataan mahupun berita tidak benar dalam isu sabotaj tersebut.

"Bawalah saya dan buat la pertuduhan ke mahkamah, saya tak ada berita palsu, hanya kebenaran," katanya selepas majlis Pengenalan Calon Parlimen PH Pekan di sini hari ini.

Dr Mahathir mengulas kenyataam Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim memberitahu Dr Mahathir yang disiasat di bawah Akta Anti Berita Tidak Benar atas dakwaan sebar berita palsu.

Dr Mahathir sebelum ini berpegang kepada kepercayaaannya bahawa ada pihak tertentu yang mahu melihatnya terkorban dalam nahas pesawat ke Langkawi bagi menghadiri proses penamaan calon dan berkempen sempena pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Presiden Pakatan Harapan itu berkata demikian susulan kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAMM) yang menolak dakwaan sabotaj terhadap pesawat yang sepatutnya menerbangkan beliau dari Subang ke Langkawi pada Jumaat.