KUALA LUMPUR: Bantuan Kewangan Khas Aidilfitri kepada pesawah dan nelayan yang layak secara one-off sebanyak RM200 seorang akan dibayar pada 10 April 2023.

Menerusi kenyataan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, bayaran kepada pesawah akan dilakukan menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

Bayaran kepada nelayan laut dan nelayan darat masing-masing menerusi menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).

“Pemberian bantuan khas sebanyak RM200 kepada pesawah dan nelayan ini dijangka akan dapat memanfaatkan seramai 240,000 orang pesawah dan 38,500 orang nelayan di seluruh negara.

”KPKM berharap bantuan yang diberikan ini dapat membantu pesawah dan nelayan dalam membuat persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri,” menurut kenyataan itu, pada Jumaat.

Pada 29 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembekalan 2023 Bacaan Kali Kedua di Dewan Negara telah mengumumkan bayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri Tahun 2023 kepada pesawah dan nelayan.

Berikut merupakan senarai yang layak menerima bantuan secara one-off  ini: 

I. Pesawah, nelayan laut dan nelayan darat Warganegara Malaysia;
II. Pesawah yang terlibat dalam aktiviti penanaman padi pada tahun 2022 dan berdaftar dengan agensi yang dilantik oleh Kerajaan tertakluk kepada syarat khusus yang ditetapkan oleh Bahagian Pembangunan Industri Padi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM);
III. Nelayan laut yang aktif menjalankan aktiviti penangkapan ikan dan berdaftar dengan agensi yang dilantik oleh Kerajaan tertakluk kepada syarat khusus yang ditetapkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)
IV. Nelayan darat yang aktif menjalankan aktiviti penangkapan ikan dan berdaftar dengan agensi yang dilantik oleh Kerajaan tertakluk kepada syarat khusus yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).