KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju mempercepatkan bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa Empat bermula 15 November sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bercakap pada sidang media di Bera, Ismail Sabri memaklumkan, pembayaran membabitkan peruntukan bernilai RM2.1 bilion akan memberi manfaat kepada 5.2 juta penerima pelbagai kategori.

Jelas beliau, setiap penerima bakal menerima sehingga RM900 mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Menurutnya, bayaran secara berperingkat yang dijangka selesai 18 November ini akan membantu penerima membuat persediaan menghadapi banjir.

"Keputusan mempercepatkan pembayaran BKM Fasa Empat daripada Disember kepada November adalah bagi membantu penerima untuk menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada pertengahan bulan ini.

"Jika bayaran dikreditkan lewat dan sudah berlaku banjir, ia akan menyusahkan rakyat untuk mengeluarkan wang di bank," katanya.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Mujahid isytihar harta RM2.54 juta, miliki dua kondo

SEMAK CALON PRU15 DI SINI!


Ismail Sabri berkata, secara keseluruhan, RM8 bilion diperuntukkan kerajaan menerusi BKM yang memanfaatkan 8.7 juta penerima bagi 2022.

Beliau berkata semakan status pembayaran boleh dibuat mulai 15 November ini dan maklumat lanjut berkaitan pembayaran boleh dirujuk di portal rasmi BKM.

Terdahulu, Ismail Sabri menghadiri program ramah mesra bersama penduduk Kampung Batu Bor di Dewan Belia Kampung Batu Bor, Bera.

Turut hadir, calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai, Datuk Sabariah Saidan.