Bayi 12 hari mangsa paling muda dijangkiti COVID-19 - Dr Noor Hisham

Fauzi Suhaimi
Mac 26, 2020 11:59 MYT
Dr Noor Hisham berkata, bayi tersebut merupakan mangsa yang dikesan menerusi jangkitan kes dalam gelombang kedua.- Gambar BERNAMA
Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan mangsa paling muda yang terkena jangkitan COVID-19 di negara ini adalah berusia 12 hari.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bayi tersebut merupakan mangsa yang dikesan menerusi jangkitan kes dalam gelombang kedua.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran terperinci mengenai pesakit berkenaan.
BACA: COVID-19: Malaysia catatkan 23 kes kematian, 235 kes positif baharu
"Bagi gelombang pertama, usia paling muda adalah empat tahun, tetapi sekarang mangsa paling muda yang kita kesan adalah bayi berusia 12 hari yang disahkan positif COVID-19.
"Pesakit COVID-19 paling tua dirawat di hospital pula berumur 83 tahun," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.
Setakat 12 tengah hari ini, terdapat 235 kes positif baharu dan ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 2,031 kes.
Sebanyak empat lagi kes kematian akibat COVID-19 juga dicatatkan, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 23 kes.
#bayi #COVID-19 #Dr Noor Hisham Abdullah #Hospital #Kementerian Kesihatan #kesihatan #koronavirus #Noor Hisham Abdullah