KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa bayi dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing secara automatik berhak mendapat kerakyatan negara ini.

Peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, ketika dihubungi Bernama, berkata Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan perkataan 'bapa' dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan perlu bermaksud dan termasuk ibu.

"Hakim itu membuat keputusan selepas meneliti beberapa Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Beliau turut memerintahkan semua pihak berkuasa yang berkaitan agar mengeluarkan dokumen seperti kad pengenalan kepada bayi terbabit," katanya sambil menambah hakim itu tidak membuat perintah mengenai kos memandangkan kes ini membabitkan isu kepentingan awam.

Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu pada prosiding dalam talian selepas membenarkan saman pemula Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing bagi membolehkan bayi mereka yang dilahirkan di luar negara mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

Melalui saman pemula yang difailkan pada 18 Dis tahun lepas, mereka memohon enam perintah mahkamah termasuk deklarasi bahawa Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama dengan Perkara 8 (2) bagi memasukkan ibu rakyat Malaysia sebagai syarat untuk bayi yang dilahirkan di luar negara diberikan kerakyatan Malaysia secara automatik.

Antara lain, mereka meminta mahkamah mengeluarkan perintah kepada semua agensi kerajaan berkaitan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen dan kedutaan Malaysia agar mengeluarkan semua dokumen membabitkan kerakyatan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibunya iaitu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Mereka menamakan Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah JPN sebagai defendan. Kesemua defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin.

Presiden Family Frontiers Suri Kempe pula berkata pihaknya bersyukur dengan keputusan itu dan menyifatkan ia sebagai bukan sahaja amat melegakan ibu yang terjejas dalam kes ini tetapi juga semua wanita Malaysia dalam situasi sama.

"Keputusan ini mengiktiraf kesaksamaan wanita Malaysia dan merupakan satu kemajuan ke arah Malaysia yang lebih egalitarian serta adil," menurutnya dalam kenyataan.

--BERNAMA