BUKIT MERTAJAM: Seorang bayi yang dilahirkan pramatang memerlukan sumbangan RM90,000 untuk membiayai kos pembedahan dan rawatan penyakit jantung yang dihadapinya.

Muhammad Habiburrahman Muhamad Arshad yang dilahirkan 25 Oktober lalu di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dikesan menghadapi masalah itu selepas pernafasannya laju.

Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, bayi itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang sehari kemudian untuk menjalani pembedahan jantung bagi melebarkan saluran setenosis arteri koronari.

Bagaimanapun jelasnya, bayi itu kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak dan menggunakan alat bantuan pernafasan.

"Hasil pemeriksaan pakar perubatan mendapati Muhammad Habiburrahman dikenal pasti mempunyai beberapa masalah kecacatan jantung yang memerlukan rawatan dan pembedahan segera.

Muhammad Habiburrahman kini ditempatkan di NICU Hospital Pulau Pinang dan menggunakan peralatan bantuan pernafasan.

"Atas nasihat pakar jantung, pembedahan jantung cara 'arterial switch operation' (ASO) perlu dijalankan dalam tempoh tiga hingga empat minggu selepas lahir dengan kos pembedahan dianggarkan RM90,000," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Sui Hau berkata, bapa kepada Muhammad Habiburrahman, Muhamad Arshad Saib, 44, hanya bekerja sebagai penjaja air minuman di tepi jalan di Jitra dengan pendapatan di antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan tidak mampu membiayai perbelanjaan berkenaan.

"Isterinya, Raihanah Khalid, 34, hanya suri rumah dan mereka juga mempunyai tiga anak perempuan yang berumur antara 4 hingga 7 tahun.

"Pasangan ini telah memohon bantuan daripada kami untuk mengumpul dana dan menguruskan rawatan dengan pihak hospital.

"Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org atau melalui applikasi One Hope Charity,"katanya.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.