KUALA LUMPUR: Seorang bayi berusia tiga bulan meninggal dunia selepas didapati tidak sedarkan diri di sebuah pusat asuhan di Bandar Baru Bangi pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 12.10 tengah hari oleh seorang jururawat sebuah hospital mengenai kejadian itu.

Jelasnya, bayi berkenaan didapati tidak sedarkan diri dan telah dihantar oleh pihak asuhan kanak-kanak berkenaan yang terletak di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi.

Bagaimanapun, rawatan kecemasan telah diberikan kepada bayi berkenaan, tetapi disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Siasatan awal mendapati bayi terbabit dihantar oleh ibunya dalam keadaan sihat ke taska terbabit pada jam 7.15 pagi tadi.

Namun, pihak asuhan menyedari bayi itu tidak sedarkan diri kira-kira jam 10.30 pagi sebelum menghantarkan ke hospital.

Semakan mendapati, taska terbabit telah beroperasi sejak tahun 2014 dan mempunyai lesen yang sah dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor.

Hasil siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur kekerasan yang berlaku, tetapi disyaki terdapat unsur kecuaian sehingga menyebabkan kematian bayi berkenaan.

Mayat bayi malang itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

Pihak Polis menyeru mana-mana individu yang ada maklumat berhubung kejadian ini supaya menghubungi IPD Kajang di talian 03-89114222 atau mana-mana Balai Polis atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Noor Hairul Anuar Bin Shuhaimi di talian 012-3043034 bagi menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.