KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya negara membawa budaya baharu dalam dunia korporat dengan mempersoalkan keberkesanan serta kecekapan pengurusan tinggi termasuk ketua eksekutif (CEO) sesebuah organisasi daripada terus memberi tekanan kepada pekerja bawahan.

Pendapat itu disuarakan Naib Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Zaidel Baharuddin, yang mempertikaikan kenyataan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) bahawa majikan boleh memotong gaji pekerja yang bekerja dari rumah (BDR).

“Kalau benarlah MEF hendak berkira tentang penjimatan kos perjalanan (dari rumah ke pejabat) maka haruslah dipersoalkan kos Internet dan kos elektrik bekerja dari rumah.

“Sudah tiba masanya kita membawa budaya baharu dalam dunia korporat Malaysia, daripada asyik menekan pekerja kecil, kita persoalkan keberkesanan dan kecekapan CEO dan pengurusan yang bergaji besar.

“Kita boleh mulakan dengan memotong, tidak banyak, mungkin sekadar 10 peratus hingga 12 peratus gaji seorang pengarah eksekutif yang telah memalukan dan merosakkan reputasi badan yang diwakilinya dengan kenyataan yang bersifat dangkal serta cetek,” jelasnya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

BACA: Majikan wajar pertimbang potong elaun perjalanan jika pekerja bekerja dari rumah- MEF

BACA: Kerja dari rumah, gaji kurang? Lokasi pejabat jadi penentu masa depan pekerjaan 

Tambahnya, alasan diberikan MEF mengenai penjimatan kos perjalanan serta kesan terhadap produktiviti kerja tidak wajar untuk dipertikaikan.

“Inilah masalahnya di Malaysia apabila syarikat mengalami kesusahan, pekerja kecil adalah orang yang menanggungnya walaupun kegagalan itu berpunca daripada pihak pengurusan.

“Baru-baru ini kita lihat bagaimana syarikat yang rugi berbilion-bilion ringgit tapi pada masa yang sama CEO mengaut gaji dan dividen beratus juta jumlahnya,” tambahnya lagi.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan sebelum ini, dilapor berkata majikan wajar mempertimbang untuk memotong elaun perjalanan jika pekerja bekerja dari rumah.

BACA: TMJ harap isu graduan menganggur, gaji permulaan rendah ditangani segera 

"Sebenarnya ada berbagai-bagai pendapat mengenai sama ada wajar BDR itu dibayar lebih kecil tetapi banyak syarikat kata kalau ada pengurangan, ia tidak harus banyak iaitu antara 10 hingga 12 peratus.

"Ini dilakukan sebab faktor tertentu di mana kalau kita lihat ada sesetengah syarikat memberikan elaun pergi dan balik bekerja.

"Maknanya elaun perjalanan tidak harus diteruskan jika pekerja bekerja dari rumah. Ada pekerja memilih gaji kurang apabila dibanding dengan ulang alik tempat kerja dimana kos boleh dikurangkan, itu antara faktor diambil jika mereka boleh turunkan gaji pekerja dari rumah," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.