KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) belum dapat menentukan jangka masa bagi melaksanakan sistem pendidikan digital secara menyeluruh dalam menangani isu beg berat dalam kalangan murid sekolah.

Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, ini kerana ia bergantung kepada beberapa faktor termasuk kekangan kewangan dan ketersediaan capaian internet.

Bagaimanapun, Hui Ying menegaskan KPM ketika ini dalam usaha menukar bahan sistem pendidikan termasuk buku teks secara fizikal kepada digital bagi mengatasi bebanan beg berat. 

"KPM juga mengadakan sebahagian bahan pembelajaran dalam bentuk digital. Pada masa ini, KPM telah memuat naik sebanyak 754 buah buku teks digital dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa).

"Saya tidak dapat memberikan jangka masa  (pelaksanaan sistem digital) sebab ini juga tertakluk kepada kekangan kewangan. Jadi mungkin kita akan adakan (kajian) terperinci dan rancangan lebih terperinci serta ada jangka masa tertentu," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Hui Ying (Ph-Tanjong) menjawab soalan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) minta menyatakan apakah keputusan kementerian mengenai penyelesaian masalah bagi meringankan beban beg berat dalam kalangan pelajar terutamanya sekolah kebangsaan; dan jangka masa pelaksanaan sistem pendidikan digital.

Menjawab lanjut, Hui Ying berkata KPM yakin pendekatan yang dilaksanakan setakat ini dapat menangani isu beg berat murid di sekolah secara berterusan.

KPM telah melaksanakan penambahbaikan inisiatif bagi menangani isu beg berat secara holistik bermula pada tahun 2022 seperti berikut:

i. Penyediaan lokar sekolah rendah kepada semua murid Tahap 1  iaitu Tahun 1 dan Tahun 2 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi.

ii. Penyusunan semula jadual waktu bagi membolehkan guru merancang pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara optimum dengan memperuntukkan masa bagi melaksanakan pendekatan modular dan bertema.

iii. Mengehadkan penggunaan bilangan buku latihan iaitu tidak melebihi dua buah buku bagi setiap mata pelajaran.

iv. Menggunakan buku aktiviti yang disediakan oleh KPM manakala buku kerja hanya boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau bahan ulang kaji di luar waktu PdP.

v. Menerbitkan buku teks dalam format digital secara berterusan.

vi. Menggalakkan guru menggunakan pendekatan PdP berpusatkan murid.

vii. Bekerjasama dengan pihak JAKIM dari aspek penyelarasan uniform bagi murid diberi kelonggaran untuk memakai uniform sekolah masing-masing semasa sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).