APPLE Store pertama di Malaysia telah dibuka secara rasminya di The Exchange TRX, sekali gus membolehkan para pengguna tempatan mendapatkan pelbagai barangan Apple serta mengalami pengalaman penuh, termasuk mempelajari perkara baharu melalui Today at Apple.
Menariknya, bersempena dengan pembukaan kedai fizikal rasmi pertama Apple ini, mereka turut memberikan beg jinjing edisi khas dengan tulisan “JOM” padanya secara percuma.
Seperti pelbagai produk Apple lain, produk edisi terhad ini juga telah mula dijual oleh sejumlah pengguna yang menghadirkan diri ke acara pembukaannya pagi tadi.
Beg jinjing ini telah mula dijual oleh para pengguna yang menhadirkan diri pagi tadi melalui beberapa platform – termasuk Facebook Marketplace dan juga Carousell.
Rata-rata ia dijual pada harga sekitar RM300, dan terdapat juga beberapa penyenaraian yang menjualnya pada harga mencapai sehingga RM1,000.
Memandangkan ia masih baharu, berkemungkinan harganya akan lebih meningkat tinggi lagi dalam beberapa bulan atau tahun, selepas kuantiti dan pengedarannya berkurangan di pasaran. -Amanz