KUALA LUMPUR: Bekalan air di 13 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur yang terjejas berikutan kerja-kerja pembaikan paip pecah di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru, di sini pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah malam tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengucapkan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air.

Pada Khamis, 13 kawasan sekitar ibu negara mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual iaitu Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Pandan, Kampung Cheras Baru, Taman Mawar, Taman Seraya, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra, Taman Mewah dan Taman Mestika.  

Pada masa sama, Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Elina Baseri menyarankan pengguna mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi pihaknya.

Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor.