KUALA LUMPUR:Bekalan air di 805 atau 93.5 peratus daripada 861 kawasan di Lembah Klang yang mengalami gangguan sejak semalam telah pulih pada pukul 6.00 petang tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor telah pulih sepenuhnya, manakala Klang/Shah Alam 91.6 peratus pulih, Kuala Langat (90 peratus) dan Gombak (85.6 peratus).

"Bantuan bekalan air alternatif melalui pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) masih lagi disediakan untuk kemudahan para pengguna yang terjejas," katanya dalam satu kenyataan malam ni.

Gangguan bekalan air itu berlaku disebabkan pencemaran air mentah yang dikesan di Sungai Selangor, menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang serta LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dihenti tugas semalam.

Air Selangor menasihatkan para pengguna sentiasa mematuhi peraturan Pelaksanaan Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air dari lori tangki, PKS dan pili-pili awam.

Maklumat semasa mengenai bekalan air boleh diperoleh menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang di www.airselangor.com.

-- BERNAMA