KUALA TERENGGANU: Masalah gangguan bekalan air  yang membebankan hampir 30,000 penduduk di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu bakal diatasi dalam masa terdekat, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, berkata kerja pembaikan paip utama yang mengalami kerosakan dijangka siap sepenuhnya pada 12 September depan.

Menurut Tuan Ibrahim, ia akan membolehkan Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Berapit dekat sini,  kembali beroperasi pada 14 September depan dengan kapasiti 50 peratus untuk permulaan.

"Kita jangka bekalan air akan dapat didilepaskan pada tarikh tersebut... ini adalah jadual awal kita... insya-Allah mudah-mudahan tak ada masalah besar," katanya di sini, hari ini.

BACA: Penduduk Terengganu merayu masalah bekalan air diselesaikan segera

Beliau berkata, kos baik pulih kerosakan berkenaan kira-kira RM2.5 juta.

Penduduk di dua daerah berkenaan mengalami gangguan bekalan air selama 12 hari bermula 2 Ogos ekoran paip pam bersaiz 1,200 milimeter pecah di dasar Sungai Terengganu.

Mereka sekali lagi terpaksa berdepan masalah gangguan bekalan air, susulan berlaku tekanan air rendah pada 23 Ogos lalu.

Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) berjaya mengatasinya namun masalah berulang selepas 10 hari bekalan air berjaya dipulihkan.

Paip terbabit membekalkan air ke tangki utama Berangan dari Loji Kepong untuk 28,700 pengguna di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.