KUALA LUMPUR: Pelepasan gas rumah kaca (GHG) atau karbon dioksida boleh dikurangkan dengan mengutamakan penghasilan bekalan elektrik menggunakan tenaga boleh baharu, kata Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Ir Zaini Ujang.

Beliau berkata pelepasan GHH juga boleh diminimumkan dengan menggalakkan penggunaan kenderaan tidak berasaskan pembakaran dalaman menggunakan bahan api fosil (ICE).

"Penggunaan bahan buangan seperti sampah, sisa industri dan pertanian sebagai bahan boleh guna semula dalam kerangka ekonomi kitaran juga harus diutamakan dalam mengurangkan pelepasan GHG.

"Di samping tidak menukar guna tanah daripada perhutanan kepada yang lain hingga menyebabkan peningkatan pelepasan GHG dan pengurangan keupayaan carbon offsetting," katanya dalam ulasan mengenai GHG yang dimuatnaik di laman Facebook rasminya.

Menurut Zaini, pengutamaan langkah-langkah berkenaan perlu sebagai menyokong Perjanjian Paris 2015 yang dimeterai untuk mengehadkan pelepasan GHG dengan berpandukan matlamat pembangunan lestari secara saksama berdasarkan kemampuan setiap negara.

Katanya, sebelum pemeteraian perjanjian itu, Kerangka Konvensyen Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCC) dan Protokol Kyoto sudah dibentuk, masing-masing pada 1992 dan 1997 bagi membahaskan isu pelepasan GHG, yang menyebabkan peningkatan suhu bumi 1.1 darjah Celcius berbanding pada era sebelum bermula Revolusi Industri.

"Pada asasnya pelepasan GHG (dalam unit ton setahun per kapita) berkadaran dengan pendapatan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

"Ini bermaksud semakin tinggi pendapatan sesebuah masyarakat (tidak terhad kepada negara maju)maka semakin tinggi permintaan dalam bentuk perkhidmatan, barangan dan 'keperluan' dibekalkan menggunakan tenaga dan sumber lain menghasilkan GHG seperti karbon dioksida, metana dan nitrus oksida," katanya.

Zaini berkata pelepasan GHG paling ketara dalam sektor tenaga hingga 80 peratus meliputi bekalan elektrik, kenderaan dan proses tenaga lain bersumber tenaga berasaskan bahan api fosilterutamanya minyak, gas dan arang batu, manakala 20 peratus lagi daripada prosesperindustrian, sisa dan amalan pertanian, penukaran guna tanah dan sebagainya.

Katanya setakat ini, negara- negara kaya paling banyak melepaskan GHG ialah Negara Teluk kerana penduduknya menggunakan pelbagai perkhidmatan dan barangan berteraskan tenaga dan kenderaan.

"Negara-negara miskin, khususnya dalam kancah peperangan pula melepaskan GHGpaling sedikit per kapita berbanding negara-negara berpendapatan sederhana. Malaysia dan China terangkum dalam kelompok negara upper middle income," katanya.

-- BERNAMA