IKAN salmon liar sangat enak apabila dijadikan makanan sushi, sashimi dan maki namun semua ini kemungkinan akan berubah kerana selepas ini kesemua makanan itu tidak akan menggunakan ikan yang berada di lautan tetapi makmal!

Sebuah syarikat kecil di California telah membangunkan makmal menggunakan sel stem yang diambil dari ikan salmon liar di Pasifik yang mana matlamat syarikat yang ditubuhkan oleh pakar kardiologi dan diplomat itu ialah untuk melindungi stok ikan yang semakin rendah.

Menurut Tabung Alam Sedunia (WWF), stok salmon kini semakin terancam disebabkan penggunaan ikan secara global meningkat tiga kali ganda sejak tahun 1980-an dan sebanyak 93 peratus salmon Atlantik sekarang adalah diternak secara akuakultur.

Stok ikan salmon liar bukan hanya terancam oleh penangkapan ikan berlebihan tetapi juga oleh pemanasan global, kerana seperti kebanyakan ikan lain, spesies ini berdarah sejuk.



Syarikat yang mencari penyelesaian bagi sumber makanan lestari, Wildtype, menyahut cabaran berkaitan situasi berkenaan.

Wildtype telah mendapat sokongan daripada beberapa syarikat besar, untuk menjalankan misi memenuhi permintaan pengguna yang tinggi bagi salah satu makanan kegemaran dunia, khususnya dalam penyediaan sushi.

Mereka juga menunjukkan bahawa produk mereka mempunyai kelebihan tertentu, terutama produk itu bebas dari antibiotik, merkuri dan mikroplastik.

Syarikat itu juga bertekad untuk menghasilkan salmon yang tidak dapat dibezakan dengan ikan sebenar. Dengan ini, mereka meminta sejumlah besar chef di Amerika untuk menguji produk mereka sebelum meletakkannya di dalam menu mereka.



Salmon bukan satu-satunya spesies yang akan diuji dalam projek sel stem. Syarikat lain antaranya turut mengusahakan daging lembu yang dihasilkan di makmal, yang pada masa depan dapat menghentikan kesan buruk daripada industri penternakan.

Ini termasuk Aleph Farms yang baru dimulakan di Israel, yang mendakwa telah menghasilkan kepingan daging (steak) in-vitro pertama di dunia.

Di Essonne, Perancis, para penyelidik telah melihat sumber protein haiwan lain, foie gras, yang ingin mereka hasilkan dari sel itik kultur.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!