MELAKA: Bekalan telur ayam di seluruh negara dijangka kembali stabil hujung bulan ini menerusi pelbagai insentif dilakukan kerajaan dalam menangani isu kekurangan bekalan berikutan permintaan yang mendadak.

Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Roziah Abudin berkata menerusi sesi konsultasi dengan pihak industri, mereka telah menyatakan komitmen untuk meningkatkan pengeluaran telur ayam bagi menampung keperluan pengguna.

"Kerajaan juga telah memberikan subsidi selain bantuan modal kepada penternak bagi menghadapi peningkatan kos operasi termasuk bahan mentah dalam menstabilkan pengeluaran bekalan telur.

"Menerusi data yang kita peroleh, pengurangan telur menunjukkan sebanyak lima hingga 10 peratus daripada tempahan," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali oleh Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem di sebuah pusat beli-belah di Ayer Keroh di sini hari ini.

Roziah berkata menerusi lawatan ke atas syarikat pengeluar juga, pihaknya mendapati mereka tidak mengehadkan pengeluaran malah telah menambah bekalan namun ia masih tidak mencukupi.

"Ada juga pengeluar terpaksa mengehadkan pengeluaran telur kerana kos yang ditampung semakin meningkat terutama dari segi ternakan dan daripada laporan kita terima, terdapat 21 ladang kecil telah ditutup kerana operasi ladang mereka tidak efisien.

"Ini menyebabkan masalah kekurangan bekalan telur juga perlu ditampung syarikat pengeluaran utama," katanya.

Beliau berkata kerajaan komited mengatasi masalah kekurangan telur dalam masa terdekat kerana perubahan monsun timur laut yang kebiasaannya permintaan terhadap telur turut meningkat pada musim tengkujuh.

Sebelum ini media melaporkan kerajaan meneruskan pemberian subsidi kepada penternak dan pengeluar telur ayam dari bulan ini hingga Disember depan membabitkan kadar 80 sen bagi sekilogram ayam manakala lapan sen bagi sebiji telur dengan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira harga siling kedua-dua bahan berkenaan.

Sementara itu, di KANGAR, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perlis Mohamad Amir Abdullah memberi jaminan bekalan ayam dan telur di negeri itu mencukupi walaupun beberapa kawasan berdepan kekurangan bekalan ketika ini.

"KPDNHEP melakukan pemantauan berterusan demi memastikan bekalan ayam dan telur ayam mencukupi," katanya kepada pemberita selepas tinjauan mesra SHMMP Deepavali 2022 peringkat Perlis di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Mengulas mengenai isu caj pengendalian telur ayam yang dikenakan oleh pembekal kepada peruncit, Mohamad Amir berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan daripada pengguna.

"Namun demikian, hasil pemantauan pihak KPDNHEP Perlis terdapat beberapa pemborong mengenakan caj pengendalian terhadap telur ayam gred A, B dan C kepada peruncit," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan meneliti semua peringkat bagi memastikan harga telur ayam dijual pada harga yang ditetapkan sekali gus tidak membebankan pengguna.

"Sekiranya pembekal mengenakan caj kepada peruncit, kita akan meminta dokumen sokongan sebagai bukti bagi membolehkan siasatan dibuat terhadap pembekal," katanya.

-- BERNAMA