GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menahan 11 individu termasuk seorang bekas ahli politik kerana disyaki terlibat dengan sindiket pemerdagangan orang yang berselindung di sebalik pusat pemulihan alkohol dan dadah di negeri itu pada Khamis lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ahli politik berusia 50-an itu  ditahan selepas pusat pemulihan di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) itu diserbu sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang menerusi Op Pintas yang dijalankan sekitar pukul 12.10 tengah malam.

Dalam serbuan itu, tujuh individu disyaki mangsa pemerdagangan orang berjaya diselamatkan dan seorang lelaki turut ditahan.

Polis kemudian membuat tangkapan susulan di Kedah dan di daerah Timur Laut sekali gus berjaya menyelamatkan keseluruhan mangsa seramai 13 individu berusia antara 22 hingga 62 tahun .

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan yang beroperasi hampir dua tahun lalu itu menyasarkan individu yang mempunyai masalah ketagihan dadah dan alkohol.

Pemeriksaan fizikal pihak polis mendapati kebanyakan mangsa mempunyai kesan kecederaan akibat dipukul

“Ia adalah pusat pemulihan yang dikatakan bagi mendapat rawatan, tetapi mereka ini sebaliknya telah digunakan sebagai buruh dan dari soal siasat, soal selidik mereka ini tidak mendapat rawatan, sebaliknya, diseksa ada di antara mereka pulang dan diambil semula untuk kembali ke pusat pemulihan ini kononnya (untuk) menerima rawatan tetapi digunakan dalam apa jua aktiviti perniagaan yang memerlukan buruh mereka ini  akan disalah gunakan,” kata Mohd Shuhaily dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Beliau turut memberitahu, siasatan turut mendapati, bekas ahli politik terbabit merupakan pengasas pusat pemulihan, bagaimanapun, polis masih menyiasat mengenai pemilikannya.

“Salah seorang yang kita tahan adalah bekas ahli politik yang telah bertanding pada PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) di peringkat Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri), namun, kalah dan hilang wang pertaruhan.

“Saya tidak mahu isu ini dipolemikan, tangkapan bermula selepas daripada siasatan yang menunjukkan ada kesalahan anti pemerdagangan manusia,” jelas beliau lagi.

Dalam perkembangan sama, Mohd Shuhaily berkata, ada waris yang membayar antara RM1,200 hingga RM1,500 bagi membolehkan mangsa menjalani pemulihan di pusat rawatan yang tidak berdaftar itu.

Dalam serbuan itu, beberapa barangan  dirampas antaranya rotan, rantai besi beserta mangga, paip pvc, besi penyambung katil, komputer riba, telefon bimbit, dokumen dan jaring besi bersama kad penghuni.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.