IPOH: Seorang bekas Hakim Mahkamah Syariah dan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal didakwa di Mahkamah Seksyen Ipoh pada Khamis atas tuduhan menerima rasuah dan bersubahat meminta rasuah berhubung kes khalwat empat tahun lalu.

Tertuduh, Burhanuddin Ismi Adam, 43 dan Muhamad Hamri Ayob, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Ahmad Kamar Jamaludin.

Mengikut pertuduhan, Burhanuddin Ismi telah secara rasuah menerima untuk dirinya suatu suapan sebanyak RM4,000 daripada seorang lelaki.

Ia sebagai dorongan untuk membuat keputusan melepaskan kes khalwat yang memihak kepada lelaki berkenaan di bawah Seksyen 54(1) (2) Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992.

Ayah kepada tiga orang anak itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah restoran di Desa Chemor Saujana, Ipoh, kira-kira jam 11.30 malam, 10 September 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Muhamad Hamri pula didakwa bersubahat, dengan secara rasuah meminta untuk Burhanuddin Ismi suatu suapan iaitu wang sebanyak RM4,000 daripada lelaki yang sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran makanan segera di Taman Tasek Mutiara, Ipoh, kira-kira jam 5.30 petang, 10 September 2019.

Dia didakwa di bawah Seksyen 28(1)(c) dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama, yang juga memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 19 Jun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes dan pelantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.