KUALA LUMPUR : Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi, mencadangkan kerajaan memulakan usaha ke arah membenarkan penggunaan kanabis dalam rawatan perubatan dengan menggunakan sebuah hospital untuk tujuan berkenaan.

Beliau berkata, hospital terbabit boleh menyediakan rawatan berdasarkan 'cannabidiol' (CBD) iaitu antara kandungan aktif dalam pokok kanabis.

Tegasnya, matlamat itu bukan berniat untuk menghalalkan bahan tersebut secara menyeluruh di negara ini, sebaliknya hanya tertumpu kepada revolusi rawatan yang telah banyak dilaksanakan di negara lain.

“Saya cuma minta mereka (kerajaan) tentukan satu hospital yang terdiri daripada doktor yang boleh keluarkan preskripsi terhadap pesakit yang menggunakan CBD.

“Contohnya, 10 orang doktor kita berikan kuasa untuk keluarkan preskripsi... jadi ini sahaja yang kita minta dan kita mulakan dengan kaedah ini terlebih dahulu.

"Kita telah melihat ada kes kanak-kanak yang menghidap penyakit epilepsi di mana ibunya memberikan CBD dan pulih dalam tempoh 10 saat… perkara ini memang sudah terbukti,” katanya.

Beliau ditemui selepas hadir pada program bual bicara mengenai soal undang-undang berhubung Generational End Game (GEG) di ibu negara pada Selasa.

Mengulas lanjut, Zaki mempersoalkan mengapa Malaysia seolah-olah takut untuk menjadikan CBD sebagai bahan untuk merawat penyakit tertentu.

“Keadaan ketika ini, pegang CBD pun umpama haram sehingga boleh dimasukkan ke penjara walhal jika kita seberang ke negara lain tidak timbul sebarang masalah.

“Saya pergi ke negara luar, CBD ini juga boleh dibeli begitu sahaja, jadi mengapa kita jadi terlalu takut… kita bukan nak halalkan secara menyeluruh,” ujarnya lagi.

Penggunaan kanabis dalam perubatan juga ujarnya, boleh dijadikan rujukan kerana sekiranya ia membawakan kesan yang positif maka tidak mustahil kaedah itu boleh diperluas dalam bidang perubatan.

Sebelum ini, pihaknya juga telah menggesa agar kerajaan memberi kelonggaran terhadap sekatan terhadap segelintir jenis kanabis perubatan termasuk CBD bagi tujuan rawatan di negara ini.

Pada 26 Disember 2018, kerajaan Thailand meluluskan pindaan terhadap undang-undang narkotik negara itu yang menyaksikan penggunaan produk ganja dan ketum untuk tujuan perubatan tidak lagi menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang.