SHAH ALAM: Bekas Ketua Pengarang akhbar Harakah, Ahmad Lutfi Othman meninggal dunia di Hospital UiTM Puncak Alam pada pagi Sabtu.

Perkara itu dimaklumkan oleh kartunis, Lutfi Kartunis Zulkiflee SM Anwar Haque atau lebih dikenali sebagai Zunar.

"Terima berita, editor dan penulis yang banyak menabur jasa sepanjang perjuangan Reformasi, saudara Ahmad Lutfi Othman telah menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi, sekitar jam 2.30 pagi (Sabtu 9 Julai) di Hospital UiTM Puncak Alam," katanya menerusi ciapan di Twitternya pada Sabtu.

Antara pimpinan politik yang merakamkan ucapan takziah ialah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut Mohamad, pemergian Ahmad Lutfi merupakan sebuah kehilangan besar buat partinya.

"Allahyarham telah kembali ke rahmatullah di hari kelahirannya yg ke-59 dan pada hari Arafah.

"Kehilangan besar kepada Parti Amanah Negara.

"Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas rohnya dan mengurniakan syurga yg tertinggi buatnya, mengampunkan segala dosa dan khilafnya serta diterima semua amal ketaatan dan kebaikannya sepanjang hayatnya yang penuh dengan kebaikan," tulis beliau di Facebooknya. - Sinar Harian