BUTTERWORTH: Seorang bekas pegawai bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas 14 pertuduhan pengubahan wang haram dan menipu membabitkan nilai lebih RM3.6 juta bermula Ogos 2017 hingga Oktober 2019.

Bagi 14 kes pengubahan wang haram, nilai dicatatkan ialah RM3.4 juta manakala RM240,000 lagi membabitkan kes menipu mangsa untuk menyerahkan wang dalam jumlah tertentu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh R Ganesan, 35, telah menerima wang RM200,000 daripada M Kaliama, 45, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan itu dilakukan antara 22 Ogos 2017 dan 24 Ogos 2017 di Malaysian Banking Berhad Cawangan Taman Inderawasih Perai, Pulau Pinang.

Kali terakhir tertuduh menerima wang RM50,000 pada 7 Oktober 2019 di lokasi sama daripada M Kesavan, 36, yang juga hasil daripada aktiviti haram.

Berikutan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Tertuduh mengaku faham ketika pertuduhan dibacakan di depan Hakim Noor Aini Yusof dan mohon dibicarakan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Muhamad Syeqal Che Murad manakala tertuduh diwakili peguam Pyara Singh.

Pada awalnya, Muhamad Syeqal memohon agar tertuduh tidak diberikan sebarang jaminan kerana berdepan banyak pertuduhan namun dibantah Praya Singh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dikenakan jaminan RM140,000 atau RM10,000 bagi setiap kes.

Mahkamah turut menetapkan 22 Disember depan untuk serahan dokumen bagi kes menipu mangsa dan 17 Januari 2022 bagi kes pengubahan wang haram.