IPOH: Seorang bekas pegawai tadbir Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada seorang individu tahun lalu.

Tertuduh, Selamat Mulyono Juni, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara rasuah meminta RM6,000 daripada seorang lelaki di pejabat MPOB Wilayah, Butterworth, Pulau Pinang pada pukul 6 petang 14 Oktober 2020.

Ia sebagai dorongan untuk menghapuskan bukti gambar siasatan berhubung kesalahan sebuah syarikat yang menjalankan urusniaga menjual buah kelapa sawit setelah lesen perniagaan pengedar buah tamat tempoh.

Dia turut didakwa memperoleh suapan wang tunai RM1,500 daripada individu sama sebagai dorongan agar pihak penguatkuasaan MPOB tidak mengambil sebarang tindakan terhadap syarikat sama selepas lesen perniagaan mengedar buahnya telah tamat tempoh.

Kesalahan tersebut dilakukan di Restoran Ayam Penyet PB, Parit Buntar pada pukul 6.35 petang 20 Oktober 2020.

Dua pertuduhan dibacakan masing-masing mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Nurul Wahida mencadangkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan namun tertuduh merayu agar ia dikurangkan kerana sudah tidak bekerja selain menanggung kos rawatan tinggi untuk anaknya berusia enam bulan yang mempunyai ketumbuhan di otak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah turut menetapkan 20 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.