SHAH ALAM: Seorang bekas pemain badminton kebangsaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat atas dua pertuduhan menipu seorang lelaki berjumlah RM58,029 untuk tujuan pertaruhan dalam talian dan pelaburan tidak wujud, enam tahun lalu.

Tertuduh, Lin Woon Fui, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Mengikut pertuduhan pertama, Woon Fui didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 39 tahun sebanyak RM28,029 dengan mempercayainya akan melipatgandakan wang menerusi pertaruhan dalam talian.

Sementara bagi pertuduhan kedua, bekas pemenang pingat gangsa acara berpasukan Sukan Asia 2006 itu didakwa menipu lelaki sama sebanyak RM30,000 untuk pelaburan saham tidak wujud.

Kesemua wang tersebut dipindahkan ke dalam akaun bank tempatan milik tertuduh dan isterinya.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Setia Alam, Seksyen U13 di sini antara 6 Jun hingga 29 November 2016.

Pertduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda bagi setiap pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irna Julieza Maaras menawarkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan bersama seorang penjamin bersama syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM pada awal setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam B. Chandrateeban yang mewakili tertuduh memohon wang tersebut dikurangkan kepada RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan susulan anak guamnnya adalah penanggung utama keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM17,000 bersama penjamin berserta syarat tambahan pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Ogos depan.