KUALA LUMPUR:Seorang bekas pengarah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas dua pertuduhan menerima rasuah berhubung projek pembekalan sebuah syarikat telekomunikasi pada Ogos 2017 dan September 2018.

Tertuduh, Kok Chin Peng, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan pertama, Chin Peng didakwa meminta suapan 10 peratus bagi pembekalan perkhidmatan Customer Support Managed Services dan 20 peratus bagi pembekalan perkhidmatan MIFE Billing Managed Services daripada tuntutan oleh syarikat Skytree Sdn Bhd setiap bulan.

Chin Peng didakwa melakukan kesalahan itu sebagai satu dorongan bagi dirinya membantu Skytree Sdn Bhd mendapatkan kerja-kerja pembekalan perkhidmatan sokongan pelanggan.

Manakala pertuduhan kedua, dia didakwa meminta suapan sebanyak 24 peratus daripada tuntutan setiap bulan untuk projek Customer Support Managed Services, MIFE Billing Managed Services serta Onboarding Managed Services.

Manakala 19 peratus untuk projek software development/software enhancement daripada Lee Kok Seorng sebagai dorongan bagi dirinya membantu syarikat yang sama mendapatkan kerja-kerja pembekalan perkhidmatan pelanggan di Apigate Sdn Bhd.

Chin Peng didakwa melakukan kesalahan itu diantara Ogos 2017 dan September 2018 di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. Dia didakwa melakukan kesalahan dibawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dijatuhi penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

Peguam mewakili tertuduh Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan, bagaimanapun memohon agar kes terbabit dipindahkan ke Mahkamah SPRM Shah Alam dan dipersetujui Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Francine Cheryl Rajendram.

Mahkamah bersetuju memindahkan kes ke Mahkamah SPRM Shah Alam dan membenarkan tertuduh menguna pakai jaminan yang ditetapkan oleh Mahkamah Shah Alam sebelum ini dengan syarat tambahan yang sama. Kes disebut semula pada 16 Disember depan.