KUANTAN: Bekas pengurus sebuah syarikat pembinaan didenda RM700,000 oleh Mahkmah Sesyen Kuantan, hari ini atas tuduhan membuat tuntuan palsu berkaitan kerja-kerja naik taraf tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain menjatuhkan hukuman itu selepas Lee Teh Hok, 66, mengaku bersalah atas dakwaan melakukan kesalahan itu di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Bera, pada April 2014.

Teh Hok didakwa mengemukakan dokumen tuntutan palsu sebagai tulen bagi projek naik taraf dan kerja tanah Jalan FT1510 Seksyen 1-18 Daerah Bera bernilai RM17.8 juta.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang bertindak sebagai penasihat teknikal ketika itu telah mengarahkan jurukur dilantik untuk mengubah jumlah kuantiti tanah import lebih daripada nilai yang ada di tapak.

Pertuduhan kes tersebut dikemukakan mengikut Sesyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin sebelum itu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berdasarkan tahap keseriusan kes iaitu denda antara RM500,000 hingga RM1 juta.

Bagaimanapun tertuduh diwakili peguam Lim Kon Keen meminta mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh dan kerjasama diberikan sepanjang siasatan berjalan.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain kemudiannya memutuskan tertuduh dikenakan denda RM700,000 atau dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda.