Bekas penyampai radio Era dan Suria, Subi meninggal dunia

Astro Awani
April 13, 2021 11:06 MYT
Subarma Mohtaruddin atau Subi menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 1.38 petang di Hospital Serdang pada pukul 1.38 petang Selasa akibat pelbagai komplikasi. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Pada hari pertama umat Islam menyambut kedatangan bulan puasa, bekas penyampai radio Era FM dan Suria FM, Subarma Mohtaruddin atau Subi dijemput oleh Allah ke negeri abadi.
Personaliti radio berusia 55 tahun itu menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 1.38 petang di Hospital Serdang akibat pelbagai komplikasi.
Allahyarham Subi juga menjalani pembedahan buang usus sepanjang 1.8 meter pada pukul 3.30 petang Isnin.
Menurut anak sulungnya, Nur Adibah, 24, ayahnya sebelum itu dikejarkan ke Hospital Serdang selepas mengadu sakit perut dan muntah.
Tambahnya, doktor sebelum itu mengesahkan ada saluran tersumbat pada bahagian usus dan pusat Allahyarham juga bengkak.
Susulan itu, Subi perlu menjalani pembedahan segera bagi mengetahui punca penyakit.
"Allahyarham menghembuskan nafas terakhir selepas azan Zohor," katanya.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dengkil, Sepang pada petang ini.
Selain Nur Adibah, Allahyarham juga meninggalkan seorang lagi anak, Muhammad Yusof, 19, dan isteri Aishah Saironi, 57.
"Arwah bukan sahaja seorang pengurus, abang dan tidak lokek untuk berkongsi ilmu pengetahuannya. Saya banyak belajar darinya ketika kami berkhidmat di Era, saya sangat berterima kasih atas nasihat dan masa yang dikongsi oleh Arwah waktu itu," kata Ketua Pegawai Eksekutif Ripple Media, Seelan Paul ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.
#Islam #Sepang #meninggal dunia #jenazah #subi #Tanah Perkuburan Islam Dengkil #era