Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengulangi hasratnya untuk rakyat Malaysia mencontohi sikap dan budaya orang Jepun.

Katanya, rakyat Malaysia tidak akan ke mana sekiranya tidak mahu bekerja keras demi diri sendiri dan negara.

Beliau turut berseloroh bahawa bekerja keras tidak membunuh.

Sebaliknya, Dr Mahathir menegaskan rakyat harus meletakkan 'sikap mahu berjaya' sebagai keutamaan.

"Semasa saya belajar dalam bidang perubatan di Singapura, saya bukanlah pelajar terbaik. Prestasi saya lebih rendah berbanding pelajar lain yang mendapat 6A, 7A dan 8A walhal saya hanya mendapat 3A.

"Saya terus sedar, sekiranya saya tidak bekerja kuat, saya tidak akan lulus peperiksaan perubatan saya. Apa yang saya lakukan adalah amat mudah.

"Saya membaca buku teks berulang kali. Tahu apa jadi selepas itu? Apabila saya menjawab soalan, saya terus terbayang gambar muka surat yang berkaitan dengan soalan itu," katanya dalam ucapannya sempena Hari Jepun dan Perasmian Residensi UTMKL di ibu kota pagi ini.

Nasihat Dr Mahathir ini sudah diulanginya beberapa kali, dimana beliau mahu melihat Malaysia setaraf dengan negara maju lain.