Ac-Mizal-2.jpg

MEMORI DATO’ AC MIZAL, SHUIB SEPAHTU, TAUKE & ATU ZERO DENGAN ALLAHYARHAM MR. OS

Teks: Athirah Zulkifli
Instagram: @tyranooy

InTrend berkesempatan menemu bual penghibur dan karyawan komedi terkenal tanah air yang pernah berkongsi pentas bersama Allahyarham Mr. Os ketika Maharaja Lawak Mega. Apa kenangan mereka bersama Allahyarham? Ayuh baca.

“Sewaktu Maharaja Lawak 2013, saya pernah berkongsi pentas bersama arwah Pakcik Os. Ia memberi satu kenangan yang indah. Arwah Pakcik Os sangat ambil berat malah prihatin kepada pelawak-pelawak baru seperti saya dan ahli-ahli Kumpulan Zero yang lain. Arwah juga banyak memberi tunjuk ajar dan kata-kata semangat kepada kami. Dia banyak beri inspirasi. Kami pasti akan rindukannya.” - Atue ZERO

“Saya tidak banyak kenangan dengan arwah, tetapi yang boleh saya sebutkan di sini, dia seorang yang baik. Dia umpama seorang abang yang banyak beri tunjuk ajar. Malah arwah Mr. Os juga tidak kedekut ilmu. Apa saja yang dia tahu, dia pasti kongsi dengan kawan-kawan seperjuangan. Begitulah baiknya dia.” - Shuib Sepahtu

“Saya pernah sepentas dengan Allahyarham Mr. Os di Maharaja Lawak Mega dan Raja Lawak 1. Allahyarham Mr. Os pernah buat taklimat mengenai lawak jenaka. Memang bagus taklimatnya. Malah arwah tidak pernah lokek berkongsi ilmu dan maklumat bersama pelawak-pelawak baru. Apa yang dia tahu, dia kongsi. Tak pernah dia sembunyi-sembunyi dan simpan ilmu itu untuk dirinya saja.” - Tauke

“Saya ada banyak kenangan dengan arwah Mr. Os, lebih-lebih lagi kami pernah bekerjasama dalam Maharaja Lawak Mega. Waktu itu, dia berganding dengan Abon untuk membentuk Kumpulan Osbon. Dia pernah sebut, betapa bertuahnya para pelawak generasi baru zaman sekarang, kerana mereka diberi pentas dan pengktirafan yang hebat. Tak seperti zamannya dulu. Saya sangat berbesar hati dapat berkarya dengan ahli seni senior seperti Allahyarham yang banyak pengalaman. Bagi saya, industri kita telah kehilangan satu lagi bakat yang begitu besar. Sebagai hos program MLM, saya lihat, Allahyarham ini, memang selalu ringan mulut memberi kata-kata perangsang dan semangat kepada adik-adik muda dan pelawak baru. Katanya selalu, “Jangan putus asa. Kalau nak berjaya, perlu jadi lain daripada orang lain. Jangan sesekali meniru gaya pelawak sedia ada.” Pesannya lagi yang akan saya kenang, “Kalau sudah terkenal, jangan lupa diri, jangan lupa asal-usul.” - Dato’ AC Mizal