GEORGE TOWN:Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyifatkan perbentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen semalam sebagai inklusif dan positif.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader dan Presiden SAM Meenakshi Raman menerusi kenyataan bersama berkata Belanjawan 2021 kali ini banyak memberi penekanan kepada golongan yang terkesan dengan penularan COVID-19 dalam negara.

"Apa yang kita lihat menerusi Belanjawan 2021, adalah kerajaan banyak memberi perhatian kepada beberapa golongan yang terkesan oleh COVID-19 terutamanya golongan B40, perusahaan mikro, kecil dan sederhana, warga tua, orang kelainan upaya (OKU) dan juga orang asli.

"Selain itu ia turut memberi pengiktirafan selayaknya kepada barisan hadapan yang banyak menyumbang keringat dalam menangani wabak COVID-19. Ia adalah sesuatu yang inklusif dan positif," menurut kenyataan itu.

Kadua-dua pertubuhan bukan kerajaan itu bagaimanapun menyuarakan sedikit kekecewaan apabila melihat tiada cadangan khusus dalam menangani isu berkaitan perubahan iklim.

"Seharusnya penekanan mengenai persiapan negara dalam menangani isu perubahan iklim harus digariskan dalam perbentangan itu kerana isu berkenaan sememangnya banyak memberi kesan buruk kepada alam semula jadi," katanya.

-- BERNAMA