IPOH:Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, adalah amat penting bagi kerajaan untuk memastikan setiap bantuan sampai kepada golongan sasar.

Mengulas mengenai Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada Jumaat, Ahmad Faizal berkata sekarang ialah masanya untuk kerajaan Persekutuan melaksanakan intipati yang terkandung dalam belanjawan tersebut.

“Saya berpandangan Belanjawan 2021 kerajaan Persekutuan adalah belanjawan yang sangat baik.

“Amat penting bagi Kerajaan memastikan setiap bantuan sampai kepada golongan sasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz itu turut membuktikan kerajaan mendengar suara rakyat.

Sehubungan itu, katanya, rakyat tentunya akan mendapat manfaat seperti yang diharapkan sebelum ini.

Ketika membentang Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini, Tengku Zafrul mengumumkan perbelanjaan bagi tahun depan sebanyak RM322.5 bilion.

Ia sekali gus menjadi belanjawan terbesar negara.


PEMBENTANGAN BELANJAWAN 2021