PADANG BESAR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi komitmen penuh dalam memastikan peruntukan Belanjawan 2023 untuk melaksanakan projek-projek di bawah kementerian berkenaan berjalan lancar demi kebajikan anggota keselamatan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peruntukan sebanyak RM500 juta yang diumumkan untuk menyelenggara dan membaik pulih kuarters kediaman dan institusi di bawah KDN serta Rumah Keluarga Angkatan Tentera yang dizahirkan sesuatu yang cukup melegakan dalam menjaga kebajikan anggota.

Beliau memberi jaminan, kementeriannya akan memberikan komitmen penuh dalam memastikan perancangan pelaksanaan tersebut berjalan dengan lancar.

Dalam masa sama, kata Saifuddin, peruntukan terbabit secara tidak langsung memberi keselesaan kepada anggota bertugas apabila bakal mempunyai kediaman yang lebih kondusif.

“Pengumuman tersebut sangat melegakan dalam menjaga kebajikan anggota bertugas yang memerlukan kediaman yang lebih kondusif dan yang kedua pembiayaan untuk mengadakan kemudahan di pintu-pintu masuk sempadan yang turut diumumkan.

“Peruntukan yang diluluskan untuk menaik taraf kuarters itu sangat penting. KDN akan komited untuk memastikan semua yang dirancang berjalan dengan lancar dengan kos yang terbaik, kawal daripada sudut tata kelolanya dan kawal dari segi perjalanan projek supaya dilaksanakan siap dan tidak tertangguh,” jelas Saifuddin.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar, di sini, pada Sabtu.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 juta untuk menyelenggara dan membaik pulih kuarters kediaman dan institusi di bawah KDN serta Rumah Keluarga Angkatan Tentera.

Selain itu, kerajaan juga akan menambah 42 pos kawalan sempadan polis Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Imigresen, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi memperketat kawalan sempadan negara selain menyelenggara semua kapal dan bot Maritim Malaysia.

Dalam masa sama, agensi-agensi di bawah KDN juga akan disediakan hampir RM1 bilion bagi memperkasa keselamatan dalam negeri antaranya untuk memperoleh lebih 2,100 unit kamera badan Polis Diraja Malaysia (PDRM).