KUALA LUMPUR: Meskipun belanjawan pertama kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima pelbagai kritikan termasuk dikatakan peruntukan defisit dan peningkatan hutang negara, pakar melihat langkah kerajaan itu wajar bagi memastikan kebajikan rakyat terbela.

Belanjawan itu yang dibentangkan oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan di Parlimen pada 24 Feb lepas, merupakan yang terbesar dalam sejarah negara dengan peruntukan berjumlah RM388.1 bilion berbanding yang dicadangkan oleh kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebanyak RM372.3 bilion.

Bertemakan Membangun Malaysia MADANI, Belanjawan 2023 yang disifatkan oleh pihak tertentu sebagai belanjawan defisit, disusun sedemikian rupa bagi memastikan golongan sasaran merentasi semua lapisan masyarakat mendapat manfaat secara menyeluruh, kata pakar yang ditemu bual oleh Bernama.

Pensyarah kanan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis Prof Madya Dr Mohd Zukime Mat Junoh berkata kerajaan perpaduan pimpinan Anwar itu dilihat berkeyakinan bahawa belanjawan berkenaan dapat menangani beban kos sara hidup rakyat.

"Tahun ini kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM64 bilion, iaitu satu jumlah yang besar, dalam bentuk subsidi, bantuan serta pelbagai insentif bagi meminimumkan kos sara hidup melalui kawalan harga barang.

"Saya berpandangan Belanjawan 2023 merupakan langkah agresif kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya membabitkan peningkatan kos sara hidup yang begitu dirasai ketika ini," katanya.

Biarpun belanjawan kali ini bukanlah penyelesaian tuntas, beliau melihat kerajaan tetap komited mengatasi isu kos sara hidup dengan mempelbagaikan bantuan untuk memastikan kebajikan rakyat terjamin terutama golongan rentan.

Pelbagai inisiatif bagi meringankan beban rakyat diusulkan dalam belanjawan itu, antaranya subsidi makanan, peningkatan subsidi tenaga serta bantuan kewangan untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah selain bantuan tunai sedia ada.

Ini termasuk pelaksanaan konsep Payung Rahmah yang diperkenalkan sebagai induk kepada usaha membantu golongan susah dan rentan.

"Agak sukar untuk mengatakan bajet kerajaan ini berupaya mengurangkan beban rakyat sepenuhnya, kerana isu kos sara hidup adalah masalah kompleks dan banyak faktor menyebabkan kenaikan kos sara hidup.

"Justeru, di sebalik pelbagai bantuan disalurkan oleh kerajaan menerusi bajet ini, masalah kos sara hidup masih lagi boleh menjadi masalah berpanjangan di negara ini. Oleh itu, perlu ada mekanisme terbaik bagaimana kerajaan dan agensi terlibat dapat mengawal rantaian makanan serta menstabilkan harga barang, selain subsidi yang diberikan itu digunakan sebaiknya untuk kumpulan sasaran supaya ketirisan dapat dielakkan," katanya.

Mohd Zukime berkata pengagihan bantuan untuk M40 atau golongan berpendapatan sederhana turut diambil kira dalam belanjawan kali ini.

"Kita akui apabila ada bantuan daripada kerajaan, sedikit-sebanyak dapat membantu golongan ini untuk meneruskan kelangsungan hidup dari segi ekonomi dan sosial mereka.

"Justeru, dengan bantuan seperti pengurangan kadar cukai pendapatan individu, kita harap ia akan lebih memberi manfaat kepada golongan ini dalam menguruskan kewangan mereka,'' katanya.

Dalam pembentangan belanjawan itu, perdana menteri berkata kerajaan bersetuju menambah pendapatan boleh guna M40 melalui pengurangan kadar cukai pendapatan individu.

Anwar berkata dengan mengurangkan kadar cukai pendapatan individu M40 sebanyak dua peratus itu, secara tidak langsung ia turut membantu meringankan beban kewangan golongan berkenaan.

"Bermula 2023, kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan sebanyak dua peratus melibatkan setiap banjaran pendapatan lebih RM35,000 hingga RM100,000,'' kata Anwar.

Sementara itu, pensyarah ekonomi Universiti Utara Malaysia Dr Nur Hafizah Ismail berkata belanjawan 2023 atau belanjawan Madani itu mencerminkan teras utama membangunkan ekonomi yang inklusif dan mampan menerusi pelbagai inisiatif kepada rakyat.

Beliau berkata ia mencakupi keseluruhan lapisan masyarakat selain membabitkan pelbagai agensi dalam menjayakan setiap inisiatif yang diumumkan.

Katanya, dengan memberi tumpuan pada usaha memacu pemulihan ekonomi, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf hidup serta menjamin kelangsungan hidup rakyat.

"Untuk merealisasikan perkara ini, semua pihak harus berganding bahu termasuklah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang berperanan penting memastikan pembangunan ekonomi kembali rancak selain membantu kerajaan menjayakan agenda membangunkan rakyat.

"Ini tidak terhad kepada inisiatif program berkebajikan tetapi juga dalam pembangunan lain termasuk hartanah seperti insentif pengecualian duti setem yang membantu merealisasikan rakyat memiliki kediaman sendiri," katanya.

Tambah Nur Hafizah, menerusi bantuan yang diberikan, rakyat boleh menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik dan menumpukan perbelanjaan pada perkara-perkara lebih perlu.

Pada 7 Okt tahun lepas, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz selaku Menteri Kewangan ketika itu, membentangkan Belanjawan 2023 dengan peruntukan berjumlah RM372.3 bilion. Tiga hari kemudian Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU15 yang menyaksikan Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Anwar.

Anwar pada 20 Dis lepas, membentangkan peruntukan khas (belanjawan mini) di bawah Akta Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang berkuat kuasa 1 Jan 2023 bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan membabitkan wang berjumlah RM107.72 bilion.

-- BERNAMA