PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan memberi fokus utama terhadap kepada kerja menaik taraf dan meningkatkan pencapaian Internet di seluruh negara, menerusi peruntukan Belanjawan 2023.

Timbalan Menterinya Teo Nie Ching berkata peruntukan sebanyak RM725 juta yang diumumkan semalam, akan digunakan untuk mempercepatkan kerja menaik taraf atau melaksanakan projek ketersambungan digital, terutamanya di 47 kawasan perindustrian dan kira-kira 3,700 buah sekolah.

"Ini memang fokus utama kementerian, kerana kita hendak percepatkan capaian Internet di semua kawasan.

"Sebenarnya ada tiga atau empat kawasan lagi yang masih tidak dapat liputan Internet," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi Pemukiman Timbalan-Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan 2023 di Seri Perdana di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2023 mengumumkan peruntukan berjumlah RM725 juta tahun ini, bagi melaksanakan ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan hampir 3,700 sekolah.

Anwar berkata kerajaan hendak mempercepatkan pelaksanaan projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sebagai usaha membantu rakyat dalam mendapatkan kemudahan jaringan Internet yang stabil.

-- BERNAMA