KUALA LUMPUR: Powerwell International Sdn Bhd optimis bahawa Malaysia berada di landasan tepat untuk muncul sebagai negara berfokuskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta menggalakkan ketelusan dalam tadbir urus korporatnya susulan Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada Jumaat.

"Ini juga akan menggalakkan pelabur asing untuk meneruskan pelaburan di Malaysia dan membantu negara ini untuk kekal berdaya saing di pasaran global," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ia berkata pelanjutan tempoh permohonan insentif bagi elaun cukai pelaburan hijau dan pengecualian cukai pendapatan hijau sehingga 31 Dis 2025 pula akan mendorong syarikat daripada pelbagai industri untuk meneroka aktiviti hijau yang dibenarkan seperti aktiviti solar dan sistem simpanan tenaga bateri.

"Ia akan menyumbang ketara kepada peningkatan penggunaan langkah-langkah tenaga boleh baharu memandangkan lebih banyak syarikat Malaysia mula mengamalkan strategi kemampanan dalam organisasi," katanya.

Menurutnya peruntukan berjumlah RM1 bilion untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana mengautomasikan dan mendigitalkan perniagaan serta RM100 juta untuk menyokong aktiviti automasi dan pendigitalan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana serta penjaja kecil, akan membantu lebih banyak syarikat mempercepat perjalanan transformasi digital.

-- BERNAMA