KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Februari yang lalu dengan tema ‘Membangun Malaysia Madani’.

Pelbagai insentif menarik yang diterima oleh kumpulan usia belia. Ia termasuk, insentif e-tunai, kemudahan pinjaman, modal perniagaan, dan pengurangan cukai pendapatan.

APA ANDA DAPAT DARI BELANJAWAN 2023? LIHAT DISINI

Selain itu, kerajaan juga mencadangkan strategi untuk mewujudkan ekosistem pekerjaan yang menawarkan gaji yang lebih bermaruah. Perihal perumahan dan keselamatan sosial juga turut disentuh dalam pembentangan Perdana Menteri tempoh hari.

Pada hari yang sama, kami di Astro AWANI bawakan kupasan daripada perspektif belia menerusi siaran langsung Dialog Anak Muda, yang menampilkan wakil belia yang ada latar belakang usahawan, penjawat awam, mahasiswa dan pekerja gig.

Tiga dapatan menarik hasil dialog tersebut yang wajar diungkapkan semula dan dirumuskan untuk renungan bersama.

RAMAI BELIA YANG BERDIRI ATAS KAKI SENDIRI

Pengusaha Bakeri Halwa, Ana Najia, kongsikan beliau mula hasilkan dan pasarkan produk dari rumah sehinggalah memiliki premis kedai tanpa bantuan daripada kerajaan.

Perkara yang sama turut dinyatakan oleh pemilik dua perniagaan yang masih lagi mahasiswa, Sara Nur Aishah, yang menceritakan perusahaannya itu adalah dengan bantuan dan panduan daripada ayah sendiri.

Bagi Pengasas Keek Collection, Edy Edryan, sedikit berbeza. Beliau memohon insentif perniagaan belia dan bumiputera daripada kerajaan. Lebih menarik apabila beliau ceritakan agensi kerajaan kejar beliau untuk memohon lebih banyak bantuan dan mengajak rakan-rakan pengusaha lain untuk turut serta, memandangkan masih banyak dana yang belum dimohon.

Dalam siri-siri dialog bersama usahawan belia ini, dapat digarap realiti kecekalan belia dilapangan. Hakikatnya, ramai belia yang memerah keringat dan bermandi peluh untuk menjayakan perusahaan masing-masing.

Ini merupakan counter-narrative kepada persepsi umum bahawa sebarang insentif kepada kumpulan belia semata-mata atas dasar ihsan. Tidak benar untuk beranggapan bahawa belia mahu atau perlu dibantu kerana masih mentah dan tidak berpengalaman.

Sebaliknya, insentif dan program pembangunan belia mesti berorientasikan fahaman bahawa belia sanggup bergadai untuk mengecapi cita-cita. Mereka dalam mod bersedia untuk melangkah lebih jauh.

Implikasi kefahaman ini ialah perubahan sikap yang mesti berlaku dipihak kerajaan dan institusi yang melaksanakan Belanjawan 2023. Agensi kerajaan bukan lagi menumpukan usaha untuk memastikan benih perusahaan belia ini bertunas, bahkan perlu melihat lebih jauh kehadapan. Iaitu menyuburkan visi lebih besar kepada perniagaan kecil ini agar berkembang ke peringkat global.

Hatta tanpa bantuan kerajaan, ramai belia yang sudah berjaya dengan hasil usaha sendiri. Maka, ia menuntut kerajaan untuk menghargai sikap cekal belia ini dengan malayani belia bukan sebagai anak-anak. Belia mesti dilayani sebagai rakan kongsi kerajaan yang berpotensi besar untuk menyumbang hasil lumayan kepada kekayaan negara.

[INFOGRAFIK] Belanjawan 2023


PERUBAHAN SIKAP DARIPADA MEMINTA KEPADA BERTINDAK

Perkara kedua yang boleh digarap daripada perkongsian tetamu-tetamu Dialog Anak Muda ini ialah perubahan sikap yang lebih proaktif.

Hampir semua bersetuju dengan kenyataan yang sama iaitu penyampaian maklumat dan memudahcara bagi mengakses dana dan pakej bantuan daripada kerajaan.

Menariknya, tidak lagi dibangkitkan berkenaan jenis bantuan, jumlah dana dan bentuk program yang perlu kerajaan laksanakan mengikut permintaan kumpulan belia.

Sekurang-kurangnya dalam pengalaman saya berinteraksi dengan kumpulan belia dalam tempoh lima tahun yang lalu, tahun 2023 menyaksikan perubahan naratif dalam kalangan belia.

Antara tahun 2012 hingga 2017, baucar buku kepada murid sekolah dan pelajar Institu Pengajian Tinggi (IPT) antara tuntutan berterusan dibangkitkan oleh kumpulan belia. Bahkan ia diteruskan pada tahun 2018.

Kad Siswa yang diperkenalkan pada tahun 2012 itu secara khusus adalah buah fikiran mahasiswa yang direalisasikan oleh kerajaan. Tuntutan melanjutkan insentif ini masih kedengaran pada tahun 2018.

Naratif belia menuntut bahagian daripada jumlah perbelanjaan kerajaan itu berubah pada tahun 2023. Perbualan bersama kumpulan belia jelas, mereka lebih prihatin mengenai penyampaian dan pelaksaan inisiatif kerajaan. Tambahan pula, belia menyeru agar belia sendiri bertindak.

Belia tidak lagi meminta. Belia mahu rakan-rakan sebaya bertindak dan manfaatkan bantuan yang tersedia. Kerajaan hanya perlu tingkatkan mutu penyampaian agar ia sampai kepada kumpulan sasar.

WUJUD KUMPULAN BELIA YANG TIDAK DAPAT HARGAI USAHA REFORMASI

Memang jelas sikap belia yang tidak percaya kepada institusi awam akibat pergolakan politik berpanjangan yang memalapkan harapan rakyat seperti yang disimpulkan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM). Tetapi adakah sikap acuh tidak acuh terhadap usaha reformasi kerajaan merupakan implikasi rasa tidak percaya itu, perlu kepada analisis yang lebih mendalam.

Satu perkara yang jelas ialah semangat dan tumpuan kepada pembentangan Belanjawan 2023 ini tidak dikongsi oleh semua pihak yang cuba disentuh oleh kerajaan.

Pemandu E-hailing, Thiventhran Chinniah, menceritakan komuniti mereka tidak memberikan perhatian kepada apa yang diumumkan oleh kerajaan. Adakah kerana mereka cuai? Tidak.

Thiven jelaskan bahawa kerja sebagai pemandu e-hailing yang disangkakan mudah itu, indah khabar dari rupa. Kumpulan belia dalam sektor ini memikirkan kelangsungan hidup dari hari ke hari. Mereka menempuhi segala cabaran dan kepayahan realiti hidup sehingga tidak berkesempatan berada dalam keselesaan untuk memikirkan secara mendalam isu-isu besar terkait kenegaraan.

Adakah mereka tidak berminat? Itu bukan yang ditonjolkan oleh pemandu e-Hailing seperti Thiven dan Muhammad Hafizi Hasimi yang tampil dalam Dialog Anak Muda. Mereka berminat meskipun kefahamannya terbatas. Mereka bercita-cita besar meskipun tanpa panduan bintang utara.

Memahami senario ini, tidak bermakna sekali lagi kerajaan harus memikirkan, melaksanakan dan berbelanja untuk sebuah program khusus mengani kumpulan belia ini.

Senario ini bermakna gagal bukan suatu pilihan kepada kerajaan. Perdana Menteri dan pasukan mesti jayakan segala rukun madani yang diuar-uarkan. Dengan harapan kejayaan itu melimpah ke atas golongan belia terpinggir ini, agar mereka dapat menjalani kehidupan bermaruah. Seterusnya, ada ruang bernafas untuk dimanfaatkan kepada pembangunan negara bangsa secara lebih menyeluruh.

Kesimpulannya, pengalaman pasca belanjawan kali ini berbeza daripada biasa. Belia tidak lagi tertumpu menghitung jumlah peruntukan yang mereka terima. Lebih penting bagi kelompok generasi masa depan negara ini ialah manfaat yang boleh mereka raih bagi melonjakkan diri merealisasikan kejayaan yang diidamkan.

Dialog Anak Muda: Belanjawan 2023: Anak muda puas hati?



* Irfan Faruqi ialah penyampai Astro AWANI, graduan undang-undang dan memberikan tumpuan pada pelaporan isu-isu semasa dan perundangan.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.