KUALA LUMPUR: Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat disifatkan sebagai telus serta mengambil pandangan rakyat terutamanya dari sektor pendidikan negara.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) Fouzi Singon berkata peruntukan sebanyak RM2.3 bilion untuk penyediaan infrastruktur serta kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah, diharap dapat menyelesaikan segala isu berkaitan yang dihadapi ketika ini.

"(Bagaimanapun), NUTP amat berharap pemilihan kontraktor haruslah dalam kalangan syarikat yang kompeten. Selain daripada itu, pemantauan terhadap kerja-kerja penyelenggaraan juga harus dititikberatkan.

Pemilihan kontraktor juga harus dibuat secara telus dan teratur," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.


IKUTI INTI PATI BELANJAWAN 2023 DI SINI 

Pada masa yang sama, NUTP turut mengucapkan terima kasih di atas peruntukan naik taraf infrastruktur di 380 buah sekolah-sekolah daif terutama di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas untuk disegerakan serta berharap ia dapat menyelesaikan segala isu yang dihadapi.

Selain itu, beliau juga berharap agar kerajaan dapat mempertingkatkan kapasiti dan melihat kepada nisbah murid dan kelas keperluan khas kerana didapati terdapat kelas di sesetengah sekolah tidak mengikut nisbah murid yang ditetapkan.

Keadaan itu, katanya berkemungkinan disebabkan permintaan yang tinggi daripada ibu bapa atau disebabkan kelas berkeperluan khas amatlah terhad.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 semalam memaklumkan KPM terus menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada 2022.

Daripada peruntukan itu, sejumlah RM2.3 bilion disediakan untuk infrastruktur dan kemudahan sekolah, merangkumi RM920 juta untuk naik taraf 380 buah sekolah yang daif, khususnya di Sabah dan Sarawak dan RM900 juta untuk kerja-kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah.

Sementara itu, aktivis pendidikan Mak Chee Kin berkata tindakan kerajaan untuk memberi perhatian segera kepada sekolah-sekolah yang uzur berdasarkan keperluan dan mengurangkan kerenah birokrasi adalah satu langkah yang wajar.

Justeru, beliau mencadangkan prosedur berkaitan sepatutnya datang terus daripada kementerian kepada sekolah terbabit tetapi Jabatan Pendidikan Negeri perlu dimaklumkan dalam proses itu.

-- BERNAMA