KUALA LUMPUR: Belanjawan 2023 dengan cadangan peruntukan RM388.1 bilion bertepatan dengan keperluan setiap kementerian untuk melaksanakan pelbagai inisiatif untuk kesejahteraan rakyat sekali gus dapat menterjemahkan konsep Malaysia MADANI.

Pelbagai peruntukan dan program yang diumumkan menerusi belanjawan itu akan meningkatkan pengupayaan dan mobiliti sosioekonomi buat segenap lapisan rakyat.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyifatkan pengumuman bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2 dan lesen teksi, bas dan e-hailing ditanggung kerajaan disifatkan sebagai "suatu kejutan yang baik".

Beliau berkata inisiatif itu dijangka membantu rakyat terutama bagi golongan belia yang membolehkan mereka memulakan pekerjaan dalam ekonomi gig.

"Kita akan lihat (mekanisme) untuk laksanakan, syarat-syarat dan juga dari segi mekanisme pelaksanaannya," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen di sini pada Jumaat.

Loke turut menjangkakan peningkatan langganan pas bulanan My50 selepas perkhidmatan Mass Rapid Transit 2 (MRT2) bermula Mac ini, susulan keputusan kerajaan untuk meneruskan insiatif pas bulanan My50.


IKUTI INTI PATI BELANJAWAN 2023 DI SINI 

KALKULATOR BELANJAWAN 2023

Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata Kementerian Pendidikan (KPM) yang sekali lagi menerima peruntukan tertinggi iaitu RM55.2 bilion akan memfokuskan kepada usaha meningkatkan taraf pendidikan negara melalui infrastruktur serta kemudahan pembelajaran terbaik dan memelihara kebajikan guru serta murid.

Beliau berkata peruntukan yang disediakan bagi kementerian itu bertepatan dengan keperluan tujuh teras utama yang diperkenalkan sebelum ini bagi memperkasakan sektor pendidikan negara.

"Pertambahan peruntukan RM777 juta bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan RM108 juta untuk Program Makanan Prasekolah KPM akan membantu menampung kos menyediakan makanan berkhasiat dan berkualiti kepada murid-murid.

"Inisiatif bagi membekalkan sekolah dan institusi pendidikan KPM dengan 50,000 komputer juga saya fikir inisiatif penting yang selaras dengan teras ketujuh iaitu peningkat keupayaan pendidikan digital sekolah dan insitutusi pendidikan," katanya.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata menerusi peruntukan dan program yang disenaraikan dalam belanjawan, ia membantu usaha KSM mengurangkan pengangguran selain situasi guna tenaga tak penuh.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat antaranya mengumumkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji 17,000 graduan khususnya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain menyediakan insentif kepada majikan menggaji golongan mudah terjejas seperti orang kurang upaya (OKU), bekas banduan, gelandangan dan penganggur tegar.

Menteri Perdangangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pula memberikan jaminan semua peruntukan yang diberikan kepada kementerian itu akan disalurkan sebaiknya kepada kumpulan sasar.

-- BERNAMA