KUALA LUMPUR : Kerajaan belum ada perancangan untuk mewujudkan program mirip Kedai Runcit 1Malaysia yang pernah dilaksanakan di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, ia berikutan Kerajaan telah mengenal pasti kos-kos tertentu yang perlu diambil kira selepas melihat kegagalan program mirip Kedai Runcit 1Malaysia.

Jelasnya, Jualan Rahmah yang dilaksanakan pada ketika ini dilihat mampu menawarkan harga rendah kepada pengguna.

“Setakat ini pihak kementerian belum ada hasrat untuk mewujudkan program mirip Kedai Runcit 1Malaysia kerana ia banyak kos dan kita kaji juga kegagalan Kedai Runcit 1Malaysia.

“Cara kita mengatasinya ialah melalui Jualan Rahmah di pasar raya yang menawarkan sehingga 30 peratus potongan harga,” katanya sebagai menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man semasa persidangan Dewan Rakyat di sini pada Ahad.

Ujarnya, Belanjawan 2023 telah membentangkan RM100 juta untuk program Jualan Rahmah di 222 Parlimen.

“Jadi saya memohon ahli-ahli Parlimen luluskan nanti di peringkat jawatankuasa juga supaya dapat kita laksanakan di semua kawasan Parlimen,” tambahnya lagi.

Kerajaan juga katanya akan meneruskan dan menambah baik program food bank bagi membantu mereka yang memerlukan.

“Baru-baru ini kita meletakkan mesin retort di hotel-hotel supaya buat persiapan membuat food bank,” ujar beliau.