Kerajaan perlu mewujudkan 'situasi menang-menang' sekiranya mahukan cadangan menaikkan gaji pemandu bas dilaksanakan di negara ini, kata Persatuan Pengusaha-pengusaha Bas Se-Malaysia.

Presidennya Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata cadangan itu boleh dipertimbangkan sekiranya pemain industri dibenarkan mengenakan tambang lebih 'fleksibel' terhadap perkhidmatan yang ditawarkan mereka.

Hanya dengan cara sedemikian dapat membantu pengusaha bas menawarkan gaji yang lebih tinggi kepada pemandu seperti dicadangkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), katanya kepada Bernama di sini.

"Adalah mustahil untuk melaksanakan cadangan itu melihat kepada beban kenaikan kos perkhidmatan yang ditanggung pengusaha ketika ini.

"Sekiranya kerajaan mahu melaksanakannya, ia perlu diselaraskan dengan semakan semula harga tiket bas ekspres yang kali terakhir dilakukan hampir 10 tahun lalu," kata Mohamad Ashraf.

Semalam, Pengerusi SPAD Tan Syed Hamid Albar mencadangkan supaya pengusaha bas memberi gaji asas lebih tinggi kepada pemandu serta menyemak semula mekanisme pemberian komisen mengikut jumlah trip.

Katanya langkah itu bagi mengelakkan pemandu terlalu mengejar komisen sehingga terdedah kepada risiko kemalangan akibat faktor keletihan dan pemanduan laju.

Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia Che Ibrahim Che Ismail berkata semua syarikat bas ekspres di negara ini tidak lagi mengamalkan pemberian komisen mengikut trip.

Katanya kaedah itu hanya digunakan pengusaha 'bas pau', iaitu golongan yang menjalankan perkhidmatan bas ekspres tetapi menggunakan lesen serta kenderaan milik orang lain.

"Amalan memberi komisen itu sudah tidak wujud sebaliknya pemandu bas kini menikmati pelbagai imbuhan lain seperti elaun kebersihan, elaun perjalanan, bonus serta mempunyai caruman bulanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).

"Majikan juga menjaga kebajikan pemandu bas dengan baik termasuk memastikan mereka mendapat perlindungan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial)," katanya.

Pengurus Bas Mahligai Expres Wan Safri Wan Ali berpendapat industri itu berdepan masalah kekurangan pemandu antara 500 dan 1,000 orang.

"Sekiranya ramai pemandu, pengusaha boleh menapis untuk mendapatkan pemandu yang berkualiti," katanya.

"Dianggarkan 4,000 buah bas dan 6,000 pemandu beroperasi di seluruh negara. Bagaimanapun jumlah itu masih belum mencukupi bagi menampung permintaan semasa pasaran.

"Gaji yang tidak setimpal dan lesen pemandu yang mahal antara faktor ramai yang tidak berminat untuk menjadi pemandu bas," kata Wan Safri.

-- BERNAMA