YAN: Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan mengatakan banjir melibatkan beberapa kampung dan kawasan perumahan di kawasan kaki Gunung Jerai di Yan dan Kuala Muda pada Rabu adalah disebabkan oleh aktiviti pembalakan.

Beliau berkata kejadian banjir itu sebaliknya berpunca daripada fenomena kepala air dari kawasan puncak Gunung Jerai.

"Laporan pertama diterima sekitar 5.30 petang tadi.

"Banjir berpunca daripada hujan lebat yang berterusan di kawasan Gunung Jerai, dan air mengalir laju turun ke kaki gunung melibatkan Sungai Kunyit, Sungai Teroi dan Sungai Puteri Mandi.


Kejadian Kepala Air | Dua disahkan maut, satu masih hilang

"Ada pihak segera menuding jari bahawa berlaku pembalakan di Gunung Jerai.

"Saya ingin mengesahkan bahawa laporan daripada Jabatan Perhutanan, tidak ada sebarang aktiviti pembalakan di Gunung Jerai sejak 30 tahun dahulu dan Gunung Jerai diwartakan sebagai kawasan hutan perlindungan,

"(Sekali lagi saya tegaskan) tidak ada apa-apa aktiviti pembalakan, kayu-kayu yang hanyut itu (adalah) kayu yang terbalik (pokok tumbang), (kayu) yang reput.

"Bila ada air datang dia hanyut, itu sajalah," katanya selepas meninjau kawasan terjejas di sini, malam tadi.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Bencana Gunung Jerai: 2 maut, 1 dikhuatiri hilang

Katanya, antara lokasi terlibat ialah kawasan di kaki gunung dan kawasan berhampiran sungai iaitu Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan lebih 10 kampung di kaki Gunung Jerai selain banyak kawasan perumahan di sekitar bandar Yan, Gurun dan Merbok dilanda banjir kilat akibat hujan lebat dan fenomena kepala air kira-kira jam 3 petang Rabu.


Bencana kepala air landa kaki Gunung Jerai, turut akibatkan banjir di kawasan sekitar