KUALA LUMPUR: Fenomena kepala air di kaki Gunung Jerai, Yan, boleh dikurangkan risikonya sekiranya kajian terperinci dan pelan tindakan dibangunkan dengan mengarusperdanakan konsep pengurangan risiko bencana.

Presiden Institut Geologi Malaysia (IGM), Abd Rasid Jaapar berkata, ini selari dengan amalan antarabangsa yang digariskan dalam Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030 oleh United Nations Office for Disaster Risk Reduction (UNDRR).

"IGM menyarankan satu kajian bencana geologi secara menyeluruh dan bebas yang dianggotai pelbagai bidang kepakaran dengan diterajui oleh ahli geologi dapat dilakukan terhadap Gunung Jerai dan kawasan sekitarnya.

"IGM juga berpendapat kajian potensi bahaya, kerapuhan dan risiko bencana berkaitan geologi perlu dilaksanakan terhadap semua kawasan produk pelancongan semula jadi termasuk geopark dan geotapak di seluruh negara.

"Kajian juga disyorkan bersifat transdisciplinary dalam memahami kesan perubahan iklim dan mengurangkan risiko bencana geologi di masa hadapan. Kajian sebegini masih belum lagi dilakukan secara terperinci dan memerlukan komitmen pelbagai pihak," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, ini akan memburukkan lagi keadaaan sekiranya kejadian aliran debris itu berlaku semasa kehadiran pengunjung atau pelancong yang ramai.

Katanya lagi, pihaknya turut difahamkan, satu pasukan penyiasat akan dihantar oleh Jabatan Mineral dan
Geosains Malaysia (JMG) ke tempat kajian untuk memantau dan membuat kajian awal.

"Sementara laporan kajian dikeluarkan oleh pasukan penyiasat tersebut, IGM menyeru ahli-ahli geologi supaya tidak terlalu ghairah mengeluarkan pandangan berbentuk spekulatif dan provokasi tanpa berdasarkan data, bukti-bukti sains dan fakta yang lengkap terutamanya data cerapan lapangan.

"IGM amat komited dalam menyokong usaha kerajaan dan pelbagai pihak berkepentingan ke arah pembangunan dan pelaksanaan pelan tindakan yang lebih holistik dalam menilai risiko bencana geologi berasaskan sains, memahami tahap keterancaman setempat, dan mencari solusi yang bersifat jangka masa panjang berasaskan maklumat geologi yang lengkap, tepat dan komprehensif," katanya.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Bencana Gunung Jerai: Hampir RM5 juta peruntukan pulih kerosakan - KASA

Bencana | Perkembangan fenomena kepala air di Yan

Pada Rabu, berlaku kejadian aliran debris di Geopark Kebangsaan Gunung Jerai yang memberikan impak terhadap kawasan di kaki gunung dan beberapa kawasan berhampiran termasuk Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Keras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.

Kadar hujan yang ekstrem antara punca pencetus kejadian, menurut sumber Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang melaporkan Stesen Hujan Gunung Jerai merekodkan bacaan kumulatif 281mm dan Stesen Hujan Kampung Singkir Genting merekodkan 172mm.

Jelas Abd Rasid, punca penyebab sebenar kejadian masih lagi memerlukan kajian yang terperinci.

"Institut Geologi Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan juga kepada penduduk yang mengalami kehilangan dan kemusnahan harta benda, di kala negara masih lagi merekodkan kes harian positif COVID-19 yang tinggi dan ancaman varian yang baharu," tambahnya.

"Ancaman risiko bencana geologi ini harus dipertingkatkan tahap kesedarannya dan difahami sebaiknya oleh masyarakat, malah ketika ancaman bencana berganda," ujarnya.