KUALA LUMPUR: Peruntukan sebanyak RM5 juta disalurkan bagi melaksanakan kerja pembaikan kerosakan sistem bekalan air, sistem saliran dan pengairan serta tebatan banjir akibat fenomena hujan lebat dan kepala air yang berlaku di Yan, Kedah.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir. Zaini Ujang berkata, peruntukan ini akan digunakan serta-merta bagi membolehkan kerja-kerja pemulihan dijalankan dengan segera.

Jelasnya lagi, pihak Kerajaan Negeri Kedah akan memperbaiki kerosakan infrastruktur seperti bekalan elektrik, sistem perparitan, jalan raya dan jambatan.

“Peruntukan ini ialah peruntukan bencana untuk kita atasi masalah semasa sebagai contoh jika berlaku hujan lebat kali kedua dalam tempoh terdekat kita nak pastikan segala kekotoran dan halangan-halangan yang ada di dalam sungai dapat dikemaskan.

“Keduanya bekalan air itu diperuntukkan di Kawasan tersebut, ini peruntukan darurat dan malam tadi saya telah memberikan laporan kepada Ketua Setiausaha Negara.

“Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga telah menyelaras kerja-kerja pembaikan dan pemulihan bekalan air termasuk menggerakkan anggota 60 Rejimen Pakar Air RAJD (AW), bantuan lori tangki operator air untuk penghantaran bekalan air dan pengagihan bantuan 1,000 botol (5 liter) air minuman kepada penduduk di kawasan yang terjejas,” katanya kepada Astro AWANI, pada Jumaat.

Lebih 20 rumah penduduk di lima kampung sekitar Gurun dan Merbok, dilanda banjir kilat kesan fenomena kepala air yang bermula di Gunung Jerai.

Kejadian itu turut mengorbankan empat nyawa, dua masih hilang dan seorang mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, Zaini menjelaskan pasca fenomena banjir kilat dan kepala air yang berlaku di Yan, Kedah memasuki proses pemulihan yang digerakkan pelbagai agensi.

Namun katanya, proses berkenaan menghadapi beberapa cabaran yang perlu ditangani segera seperti ketiadaan bekalan air dan elektrik di Kawasan terjejas.

“Jika orang itu tinggal sendirian, warga emas sukar untuk mereka bersihkan rumah mereka dengan keadaan tiada bekalan air dan elektrik, jika dibiarkan lama lumpur akibat banjir itu akan menjadi keras dan sukar dibersihkan.

Zaini sekali lagi menjelaskan punca banjir kilat dan fanomena kepala air di Yan itu berlaku disebabkan hujan yang turun selama lapan jam pada hari kejadian menyamai purata sebulan hujan dalam negara.

“Punca banjir telah kita sahkan disebabkan oleh hujan yang sangat lebat dan itu faktor yang mesti diketahui semua pihak, hujan tersebut telah menyebabkan fanomena kepala air

“Hujan turun 278 milimeter (mm) di beberapa kawasan bukan hanya di Yan sahaja, tetapi di Kuala Muda juga.

“Hujan dalam tempih lapan jam tersebut disukat pada 278mm itu bersamaan dengan purata sebulan hujan di negara kita,” ujarnya.