YAN: Perubahan ketara dikesan di kawasan puncak dan lereng Gunung Jerai terutama membabitkan bentuk muka bumi serta aliran sungai susulan fenomena kepala air dan tanah runtuh pada 18 Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Abdullah Sulaiman, berkata perubahan itu dikesan hasil maklumat geografi dan analisis data geospatial berdasarkan pemetaan udara yang dilakukan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) di kawasan gunung tersebut.

Tambahnya, hasil daripada analisis terbabit pihak JMG turut mengesan perubahan terutama membabitkan fizikal sungai yang dahulunya bengkang-bengkok berubah menjadi lurus susulan kejadian aliran puing.

"Peta baharu ini akan menunjukkan kesan daripada bencana, jadi maklumat ini akan diperlukan oleh pihak JMG untuk membuat analisis. Apabila berlaku berubahan ini, kita kaji bahawa kawasan tertentu ini, apa yang menyebabkan dia ada (kejadian) slop failure.

"Selepas (tanah) sudah runtuh, kita boleh banding (antara) yang lama dan baharu (dan) kita boleh calculate volume tanah yang dah runtuh akibat slope failure tadi itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau penyediaan data geospatial bencana Gunung Jerai oleh JUPEM yang turut dihadiri Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia, Datuk Azhari Mohamed di Titi Hayun pada Khamis.

Sementara itu, Azhari berkata, proses pengumpulan data geospatial dengan kaedah pemetaan udara di Gunung Jerai dilaksanakan pihaknya pada 21 Ogos hingga 4 Sept lalu dengan menggunakan kapal terbang yang disewa khas.

Data berkenaan jelasnya amat penting dalam menunjukkan perubahan yang berlaku di lokasi kejadian yang mana dapat membantu agensi berlaitan dalam melaksanakan analisa bagi rujukan pada masa hadapan.

"Maklumat yang dikutip JUPEM tidak disimpan begitu sahaja, tetapi kita akan wujudkan portal yang sedia ada... kita bangunkan geoportal yang kita namakan MyGeoSurf.

"Semua maklumat tadi akan dimasukkan dalam portal JUPEM dan akan dikongsi dengan semua agensi teknikal dan semua agensi yang memberi tindak balas.

"Kita kongsi supaya semua agensi buat kajian masing masing kerana saya rasa tidak ada satu agensi yang mempunyai kepakaran dalam bidang bencana ini, tetapi kalau kita berkongsi kepakaran dengan semua agensi terlibat kita boleh buat sesuatu perkara yang baik kepada negara dalam pengurusan bencana," katanya.

Pada 4 September lalu, Pasukan Task Force Bencana Geologi JMG Kedah/Perlis/Pulau Pinang telah menemui 69 kesan runtuhan tanah, di kawasan Gunung Jerai dan Titi Hayun.

Ia selepas pemantauan melalui udara dan siasatan dilakukan di lokasi kejadian bencana kepala air sejak 19 hingga 31 Ogos lalu.