PASIR SALAK: Seorang mekanik parah selepas dikatakan dibakar seorang individu yang berang kerana kereta adiknya yang dibaiki mangsa masih rosak, dalam kejadian di Kampung Tersusun Balun Bidai, Kampung Gajah di sini pada Rabu.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 malam itu menyebabkan mangsa berusia 37 tahun itu melecur dengan kesan terbakar 46 peratus pada bahagian kepala hingga ke pinggang dan kaki sebelah kanan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku selepas suspek, seorang lelaki berusia 50 tahun, tidak puas hati apabila kereta yang dibaiki itu masih rosak.

Menurutnya, berlaku pertengkaran antara mereka berdua menyebabkan suspek meminta rakannya berusia 39 tahun membeli minyak petrol di kedai berhampiran.

"Suspek kemudiannya menyimbah bahan bakar itu di kepala mangsa sebelum menyalakan api menggunakan penyembur aerosol dan pemetik api kira-kira 10 meter dari mangsa.

"Nyalaan api tersebut telah menyambar mangsa yang berada di halaman rumah dan menyebabkan dia terbakar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Barudin berkata, dua beradik itu yang panik bertindak memadamkan api dengan menggunakan air paip.

Ujarnya, selepas api dipadamkan, adik suspek yang berusia 42 tahun telah menghubungi seorang lagi rakan mereka untuk menghantar mangsa ke Hospital Changkat Melintang, Bota dengan upah RM100.

Menurutnya, pakaian mangsa yang terbakar telah ditukar sebelum dihantar menaiki kereta Proton Satria Neo dan ditinggalkan sendirian di tempat letak kereta di hadapan wad kecemasan hospital berkenaan.

Menurut Barudin, berdasarkan maklumat dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), polis berjaya menahan keempat-empat suspek dalam serbuan berasingan di Kampung Gajah pada Khamis.

"Pemeriksaan perubatan mendapati seorang daripada mereka mempunyai kesan terbakar pada tangan kanan dan sampel patologi diambil untuk tindakan lanjut," katanya.

Ujian air kencing turut mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine dan direman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.