KUALA LUMPUR: Gara-gara terlalu obses untuk kurus, Nora (bukan nama sebenar) sanggup mengambil dadah, sehingga berat badannya mencecah cuma 38 kilogram (kg).

Mula mengambil dadah sejak lapan tahun lepas, pada masa itu dalam fikirannya hanyalah mahu kelihatan ramping dan langsing seperti rakan sekerjanya yang lain.

Nora, 36, yang ketika itu mempunyai berat badan lebih 80kg memberitahu niat asalnya hanya mahu melakukannya dalam tempoh singkat sehingga mencapai berat badan ideal, namun tanpa sedar dirinya terus bergantung kepada bahan terlarang tersebut

"Sebelum ini, selepas saya melahirkan anak, saya tidak pernah mengalami apa-apa masalah berat badan. Paling berat pun dalam lebih 50kg.

"Saya pernah cuba untuk berdiet, namun usaha itu hanya sia-sia. Tambahan pula, saya sentiasa dikelilingi rakan sekerja yang gemar berpakaian cantik selain memiliki badan langsing," katanya kepada Bernama.

Memburukkan lagi keadaan, bekas suaminya juga adalah seorang penagih dadah sekali gus memudahkannya untuk mendapatkan bekalan.

Kini, Nora yang menjadi penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), Dengkil, dekat sini, sejak 15 bulan lepas, mahu semua gadis mengambil iktibar daripada pengalamannya itu.

"Saya benar-benar menyesal. Saya pilih untuk memudaratkan diri. Saya bukan sahaja hilang kerja bahkan hidup saya juga menjadi kucar-kacir. Saya menyesal kerana tidak sempat melihat anak-anak membesar di depan mata," katanya.

Begitu pun, Nora bersyukur apabila semua ahli keluarga termasuk dua anak perempuannya yang kini berusia 17 dan 18 tahun dapat menerimanya dengan hati terbuka.

Berbeza dengan Nora, Flora (bukan nama sebenar), 51, pula terjebak dalam penyalahgunaan dadah ketika berusia 34 tahun berikutan perasaan memberontak yang bersarang dalam diri.

"Saya dari keluarga yang sangat tegas dan kuat mengongkong dan apabila berkahwin saya memiliki suami yang kuat cemburu. Dua keadaan ini membuatkan pergerakan saya sangat terbatas.

"Jadi, selepas bercerai, saya hidup dengan bebas dan buat semua yang saya inginkan tanpa sebarang kawalan seperti memakai skirt mini," katanya yang juga penghuni pusat itu sejak 15 bulan lepas.

Keadaan Flora, yang juga seorang mualaf, menjadi semakin tidak terkawal apabila mula bekerja di Singapura dan selepas itu menetap di Johor Bahru, kira-kira 10 tahun lepas.

"Saya bermula dengan mengambil pil ecstasy secara suka-suka di kelab malam setiap hujung minggu. "Saya tidak ambilnya (dadah) secara berterusan malah pernah berhenti seketika dalam tempoh tiga tahun sebelum kembali menagih sejak kebelakangan ini sehingga ditahan sepasukan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)," katanya.

Flora bagaimanapun bersyukur apabila keluarga termasuk tiga anaknya terus memberi sokongan dan galakan kepadanya untuk berubah menjadi insan yang lebih baik.

"Anak-anak saya selalu memberi nasihat dan berharap agar saya terus berhenti dari mengambil dadah selepas ini," katanya yang berhasrat untuk pulang ke kampung halamannya di Kuching, Sarawak selepas dibebaskan kelak.

Flora juga bersyukur dibawa ke Puspen yang memberi banyak peluang untuk belajar antaranya menerusi kelas bimbingan agama dan kerohanian, selain bengkel kemahiran seperti memasak.

-- BERNAMA