KUALA LUMPUR:Perang melawan rasuah adalah kunci utama untuk memastikan kesiapsiagaan yang lebih baik menangani wabak COVID-19.

Transparency International (TI) melaporkan beberapa kerajaan telah gagal menyediakan penjagaan kesihatan sewajarnya kepada pesakit COVID-19.

Menurut Koordinator Penyelidik Transparency International, Jon Vrushi, masalah itu berlaku ekoran dana sistem kesihatan jangka masa panjang tidak diperuntukkan.

"Pentingnya ketelusan dalam proses perolehan awam kerana tiada negara bebas rasuah, terutama ketika berdepan kecemasan.

"Perolehan ubat-ubatan dan keperluan perubatan antara isu utama dalam rasuah yang mana 28 peratus kes rasuah melibatkan kesihatan di Kesatuan Eropah berkait perolehan keperluan perubatan," memetik analisis laporan COVID-19 dan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020.

Malah, menurutnya, negara yang mencatatkan CPI rendah dilihat cenderung melanggar hak asasi manusia dan sistem demokrasi.

Perkara sama turut diakui oleh Pengerusi Transparency International, Delia Ferreira Rubio. - Foto TI

"Ia lambang kepada manifestasi rejim korup yang menggunakan situasi kecemasan kesihatan itu untuk kekal berkuasa.

"Antara permasalahan termasuk tidak jelas mengenai tindakan kecemasan, maklumat yang menyimpang dan menyekat kebebasan media," katanya dalam laporan itu.

Antara cadangan yang dikemukakan beliau adalah dengan mengarus perdana dasar anti-rasuah dan meningkatkan ketelusan dalam kontrak awam.

"Sesebuah negara itu juga perlu memperkukuh institusi audit dan pengawasan, melindungi ruang sivik selain menguatkuasa semak dan imbang," jelasnya.